Gagal urus hal keluarga, China pertikai kemampuan Hsien Loong tadbir negara


Perselisihan keluarga Lee mungkin menjejaskan kredibiliti Hsien Loong sebagai perdana menteri di mata China. – Gambar AFP, 21 Jun, 2017.

PERSENGKETAAN terbuka di kalangan adik-beradik Lee di Singapura mungkin akan menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri Lee Hsien Loong di tanah besar China, lapor South China Morning Post (SCMP)

China – pelabur besar di negara itu – mempersoalkan keupayaan Hsien Loong untuk menguruskan negara apabila seolah-olah tidak mampu menyelesaikan perselisihan keluarga, kata akhbar itu, berdasarkan pemerhati dan media China.

Hsien Loong, anak sulung Lee Kuan Yew, terperangkap dalam persengketaan dengan adik perempuan, Dr Lee Wei Ling dan adik lelaki Lee Hsien Yang, berhubung wasiat terakhir bapa mereka.

Ketiga-tiga beradik itu menyerang satu sama lain di Facebook dan media antarabangsa selama beberapa hari apabila perselisihan mengenai kediaman rasmi Kuan Yew di Oxley Road didedahkan, perkara yang mengejutkan warga Singapura.

Hsien Loong pada Isnin meminta maaf kepada rakyat Singapura: “Saya sangat menyesal yang pertikaian ini menjejaskan reputasi Singapura dan keyakinan rakyat Singapura terhadap kerajaan.”

Bagaimanapun, SCMP berkata, kaum Cina yang berpegang kepada kepercayaan Confucian menganggap saga itu akan menghalang cita-cita politik Hsien Loong.

“Ini pasti akan menjejaskan dasar politiknya, kerana kaum etnik Cina memegang nilai jika seseorang tidak dapat mengendalikan keluarganya dengan baik maka beliau akan kehilangan kemampuan untuk menguruskan sebuah negara,” kata Ju Hailong, pakar hal ehwal Asia Tenggara dari Universiti Jinan, memberitahu akhbar berpangkalan di Hong Kong itu.

Zhang Mingliang, pakar hal ehwal Asia Tenggara dari universiti yang sama, berkata persengketaan itu boleh menjejaskan imej Hsien Loong selepas menekankan pentingnya keharmonisan keluarga dalam mesej Tahun Baru Cina.

Semalam, sebuah laman sesawang yang bergabung dengan Pejabat Penerangan Majlis Negeri berkata Hsien Loong membangunkan kredibilitinya dengan menegakkan prinsip yang ditekankan oleh bapanya, termasuk meritokrasi dan kejujuran.

Tetapi imej perdana menteri akan terjejas kerana “walaupun ahli keluarga terdekatnya tidak percaya dan secara terbuka menuduhnya,” katanya.

Perselisihan Lee juga menentang kepercayaan Timur yang persengketaan keluarga haruslah menjadi masalah peribadi. – 21 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen