Mendiang Sridevi diberi penghormatan pada acara IIFA 


Poster memperingati bintang Bollywood Sridevi ditampal di perkarangan kediamannya di Mumbai, India. – Gambar EPA, 25 Jun, 2018.

BINTANG Bollywood Sridevi Kapoor diberi penghormatan di acara anugerah filem India yang diadakan di Bangkok apabila memenangi hadian pelakon wanita terbaik sebulan selepas kematiannya.

Barisan bintang terkenal India hadir di ibu negara Thailand itu bagi memeriahkan acara tahunan Anugerah Akademi Filem India (IIFA).

Namun dua anugerah berprestij pada acara itu diberikan tanpa kehadiran pemenangnya. 

Irrfan Khan yang terkenal dengan peranannya dalam filem blockbuster “Life of Pi” dan “Slumdog Millionaire” menerima anugerah pelakon terbaik namun tidak hadir pada acara itu selepas disahkan menghidap ketumbuhan. 

Pelakon India berusia 51 tahun itu, yang turut membintangi filem “Inferno” pada 2016 di samping pelakon Hollywood Tom Hanks, merupakan antara aktor yang turut mengembangkan karier lakonannya di Hollywood.

Sridevi yang meninggal dunia Februari lalu pada usia 54 tahun memenangi anugerah pelakon wanita terbaik menerusi filem “Mom” yang mengisahkan seorang ibu yang membalas dendam kerana anak tirinya dirogol. 

Mendiang ditemukan lemas dalam tab mandi di sebuah hotel di Dubai ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan. 

Ribuan peminatnya berkumpul di sepanjang jalan raya di Mumbai ketika majlis memperingati mendiang diadakan. – AFP, 25 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen