MENTERI Penerangan Arab Saudi, Dr Awwad Alawwad menggesa media Gabungan Arab Mengembalikan Legimitasi Yaman, untuk meningkatkan usaha mendedahkan jenayah yang dilakukan militia Houthi di negara bergolak itu.
Objektif berkenaan katanya, mampu dicapai menerusi penyelarasan bersama dalam menyatukan wacana media negara anggota dan mengetengahkan pelbagai pencapaian serta kejayaan tentera Yaman selain bantuan kemanusiaan, politik dan ketenteraan.
“Kita juga perlu mendedahkan maklumat palsu mengenai pertempuran yang disebarkan oleh militia Houthi selain salah faham mengenai sesetengah usaha kemanusiaan dan ketenteraan di Yaman,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Menteri Penerangan gabungan itu, di Jeddah pada Sabtu.
Dr Awwad yang mempengerusikan persidangan itu berkata, media memainkan peranan penting dengan tanggungjawab utamanya adalah bagi menjelaskan fakta serta melaporkan berita sebenar mengenai pembangunan di Yaman.
“Dengan bantuan Allah, gabungan mampu menawan serta membebaskan kembali 85 peratus bumi Yaman, selain komited menjunjung lunas undang-undang pertempuran,melindungi orang awam serta menyokong rakyat Yaman dan kerajaan yang sah dalam perjuangan mereka menentang kezaliman pengganas,” katanya.
Menteri itu berkata, Gabungan Arab juga berjaya menyasarkan pemimpin tertinggi militia dan mengetatkan kawalan terhadap pergerakan mereka.
Mesyuarat dianjurkan dalam usaha menilai peranan media sebelum ini selain memantau okjektif gabungan itu.
Ia juga bertujuan mengukuhkan kerjasama gabungan dalam menangani dan mendedahkan dakyah yang dilakukan puak Houthi. – Bernama, 24 Jun, 2018.
Komen