PENYERANG bertopeng menyerang sebuah kem yang didiami masyarakat Rom di barat Ukraine, menyebabkan seorang terbunuh manakala empat lagi cedera termasuk kanak-kanak, kata polis pada Ahad.
Serangan yang dikecam kumpulan hak asasi itu berlaku selepas serangan sama dilancarkan ke atas masyarakat itu di ibu kota Ukraine, Kiev serta di beberapa bandar lain seperti di Lviv dan Ternopil.
Kumpulan bertopeng menyerang sebuah kem yang terletak di pinggir bandar Lviv pada Sabtu dengan menggunakan senjata termasuk cota, kata jurucakap polis Yaroslav Trakalo kepada AFP ketika dihubungi.
Seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas ditikam sementara tiga lagi dikejarkan ke hospital, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan seorang wanita berusia 30 tahun, kata jurucakap polis terbabit.
Polis berkata mereka telah menahan tujuh penyerang dan pihak yang merancang serangan itu.
Masih tidak diketahui sama ada mereka adalah sebahagian daripada ahli kumpulan radikal.
Dalam kejadian yang berlaku di Kiev pada April lalu, satu kumpulan neo-Nazi bertindak membakar kemah masyarakat Rom dan melemparkan batu selain menyemburkan penyembur lada ke arah wanita dan kanak-kanak.
Polis berkata mereka tidak melakukan siasatan terhadap serangan itu kerana mangsa tidak melaporkan perkara itu, lapor media Ukraine.
Kumpulan neo-Nazi yang dikenali sebagai C14 memuat naik rakaman video di Facebook yang memaparkan seorang ahlinya membuat serangan di Kiev dan berikirar mahu melakukan lebih banyak serangan lagi.
Pada pertengahan Jun, kumpulan hak asasi menggesa Ukraine agar menyiasat serangan terhadap masyarakat minoriti Rom tersebut.
Dalam kenyataan bersama kepada pihak berkuasa Kieve, empat kumpulan termasuk Human Rights Watch and Amnesty International membidas serangan oleh puak radikal itu.
“Pihak berkuasa sehingga kini gagal… untuk bertindak balas terhadap sebahagian besar serangan itu,” kata kumpulan-kumpulan itu.
Kenyataan itu mendakwa beberapa kumpulan radikal seperti C14 dan Right Sector mendalangi sekurang-kurangnya 24 serangan atau gangguan tahun ini.
Kumpulan hak asasi Majlis Eropah mengangarkan seramai kira-kira 260,000 bangsa Rom tinggal di Ukraine yang mempunyai populasi sekitar 48.5 juta. – AFP, 24 Jun, 2018.
Komen