Penasihat Trump persoal kesediaan Abbas berdamai dengan Israel


Penasihat Donal Trump, Jared Kushner (kiri), bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Jumaat. – Gambar EPA, 24 Jun, 2018.

PENASIHAT Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Jared Kushner mempersoalkan kemampuan dan kesediaan Presiden Palestin Mahmud Abbas untuk bertolak ansur bagi perjanjian damai dengan Israel.

Kushner membuat kenyataan itu melalui temu bual dengan akhbar Palestin, Al Quds ketika beliau dan utusan khas, Jason Greenblatt berada di rantau itu dalam usaha untuk menambah baik usaha memperbaharui perdamaian Israel-Palestin yang tertangguh.

“Presiden Abbas berkata beliau komited untuk berdamai dan saya tiada sebab untuk mempercayainya,” kata Kushner. 

“Bagaimanapun, saya ingin tahu sejauh mana Presiden Abbas bersedia untuk berdamai.”

“Sejak 25 tahun lalu beliau menyebut perkara yang sama. Sepanjang masa itu tiada perjanjian damai yang dicapai,” katanya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Kushner dan Greenblatt bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Jumaat, berbincang mengenai “memajukan proses diplomatik, perkembangan di rantau itu dan keamanan serta masalah kemanusiaan di Gaza”.

Perbincangan diteruskan pada mesyuarat kedua pada Sabtu.

Kushner dan Greenblatt yang turut akan melawat Jordan, Arab Saudi dan Mesir, tidak bertemu pegawai Palestin yang menghentikan semua hubungan dengan pegawai AS selepas pentadbiran Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada Disember. – AFP, 24 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen