Tugas saya untuk lindungi anak guam, kata Siti Kasim


Selepas ditahan semalaman di lokap, Siti Kasim digari dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang awal hari ini bagi permohonan reman oleh polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Jun, 2018.

PEGUAM Siti Kasim dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, sehari selepas anggota polis menyerbu rumahnya dan menahannya kerana didakwa menculik anak guamnnya sendiri, dan menghalang tugas penjawat awam.

Selepas ditahan semalaman di lokap, Siti Kasim digari dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang awal hari ini bagi permohonan reman oleh polis.

Bagaimanapun, hakim mahkamah majistret menolak permohonan tersebut.

Sebaik dibebaskan hari ini, Siti Kasim memberitahu pemberita hari ini yang beliau mengakui cuba menghalang pegawai polis daripada “menyelamatkan” anak guamnnya Anis Izatty Ruslan.  

“Saya bersyukur kerana mahkamah menolak permohonan reman oleh polis,” katanya.

Siti Kasim berkata beliau akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung siasatan kes berkenaan.

“Saya hanya menjalankan tugas saya sebagai seorang peguam dan tidak mahu mencetuskan sebarang masalah,” katanya.

Anis Izatty, 24, pernah menjalani rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul ibu kandungnya.

Siti mendakwa ibu Anis Izatty membuat laporan polis mendakwa anak perempuannya itu berada dalam keadaan mental tidak stabil dan diculik oleh Siti dari hospital.

Dalam satu klip video dikongsikan oleh Suri Kempe, pengurus program bagi kumpulan hak umat Islam, Musawah di laman Facebook, seorang pegawai polis memberitahu Siti bahawa beliau ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana “menculik” Anis Izatty dari hospital ketika masih dalam rawatan doktor.

“Polis menahan saya hanya kerana mereka mengikut prosedur. Mereka tahu cerita ini iaitu Anis didera oleh ibunya dan saya cuba menyelamatkannya. Dia sendiri mahu ikut saya,” kata Siti kepada seorang rakan di dalam video itu.

Anis Izzaty dalam video itu juga dirakamkan memberitahu orang ramai bahawa dia tidak diculik.

“Dia tidak culik saya. Itu tipu,” kata Anis. – 24 Jun, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen