KHAIRUL Azwan Harun mengucapkan tahniah kepada bakal Ketua Pemuda Umno Malaysia yang baru, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan menawarkan diri membantu untuk memulihkan parti dalam perubahan politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya menawarkan diri untuk sentiasa membantu kepimpinan beliau dan Pemuda Umno memasuki era pemulihan dan pembaharuan,” katanya dalam satu kenyataan memperakui kemenangan Asyraf dalam pemilihan sayap Pemuda Umno semalam.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Asyraf menang di 65 bahagian mengatasi bekas Naib Ketua Pemuda Umno itu yang menang di 62 bahagian. Dua calon lain, Ketua Pemuda Umno Pahang Shahar Abdullah menang di 51 bahagian sementara Jamal Md Yunos menang di dua bahagian.
Ibu Pejabat Umno bagaimanapun hanya akan mengumumkan keputusan rasmi pemilihan ketiga-tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri pada pukul 5 petang ini.
Dalam kenyataannya, Khairul berharap Pemuda Umno akan kembali mengukuhkan perpaduan selepas selesai tempoh pemilihan dan mengingatkan Umno kini perlu jadi pembangkang yang berwibawa untuk rakyat.
“Setelah selesai tempoh berkempen dan bertanding, saya harap kini Pemuda Umno dapat bersatu kembali, saling bermaafan dan kembali bertaut untuk mara ke hadapan bersama,” katanya.
Beliau juga berharap Asyraf dapat mempertimbangkan beberapa cadangan pembaharuan untuk Umno yang beliau sendiri kemukakan dalam kempennya. Antaranya ialah meletakkan had umur ketua Pemuda Umno dan had umur ahli Pemuda, memudahkan sistem pendaftaran ahli serta membuka hak mengundi kepimpinan kepada semua ahli sayap.
Mengulas mengenai dirinya, Khairul berkata, beliau akan meneruskan khidmat sebagai Senator di Dewan Negara sehingga tempoh tamat.
“Saya tidak akan meletakkan jawatan,” katanya, dan menambah, beliau akan berusaha untuk jadi seorang ahli Dewan Negara yang adil dan kritikal.
Khairul dilantik sebagai senator berkuat kuasa 7 Disember 2016 untuk tempoh tiga tahun sehingga 2019. – 24 Jun, 2018.
Komen