CALON timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan mahu menawarkan pengalamannya mengurus krisis, yang beliau timba semasa berkhidmat bertahun-tahun dalam sektor korporat, untuk mengembalikan kegemilangan parti itu selepas terpukul dalam pilihan raya umum yang lalu.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, dengan pengalamannya menguruskan krisis dalam bidang korporat, beliau yakin mampu membantu memulihkan kembali semangat Umno.
“Sebab jawatan nombor dua dalam mana-mana organisasi, orang nombor dua ini penting. Yang buat kerja mengurus dan menjadi nadi kepada organisasi syarikat, ketua pegawai operasi.
“Itu ‘forte’ saya, dalam sektor korporat. Mana-mana saya pergi, saya buktikan saya boleh urus krisis. Umno ini satu organisasi terlampau besar, 72 tahun… organisasi sangat besar.
“Apa yang patut kita ialah kita perlu mengurus, dan peranan orang nombor dua ini penting,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui selepas mesyuarat Umno Bahagian Rembah di Senawang, semalam.
Sebelum masuk politik secara aktif, Mohamad pernah bertahun-tahun jadi pengurus bank, termasuk di Bank Bumiputra London. Beliau juga pernah jadi ketua pegawai eksekutif Cold Storage Malaysia dan kemudian pengarah urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad.
Mohamad menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden, bersaing dengan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa, pada pemilihan yang akan berlangsung pada 30 Jun ini.
Katanya, kalau jadi orang Nombor 2 parti nanti, beliau tidak kisah siapa pun yang jadi presidennya kerana merasakan boleh bekerja dengan sesiapa.
Beliau juga menjelaskan masuk bertanding pemilihan Umno tanpa menyertai mana-mana pasukan kerana lebih senang bekerja dengan individu yang menjadi kenalannya.
“Saya dari awal kata saya pemain ‘single’ tidak ada mana-mana kem, walaupun Khairy (Jamaluddin Abu Bakar) Umno Bahagian sama (Rembau), tidak bermakna saya sekapal.
“Saya pengurus profesional, saya boleh bekerja dengan siapa-siapa, siapa pun presiden,” katanya.
Khairy bertanding merebut jawatan presiden Umno dalam persaingan lima penjuru, bersama veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, dan pemangku presiden Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tiga calon utama.
Mohamad juga optimis Umno mampu bangkit semula sekiranya melalui proses reformasi dan penyusunan semula organisasi yang betul selepas pemilihan kali ini.
“Saya yakin Umno akan bangkit dengan lebih kukuh dan lebih kuat.
“Dulu kita susah. Kita di hilir, keruhnya di hulu. Kita terpaksa menerima yang keruh. Kita tak boleh buat apa,” katanya, menjelaskan punca kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang dipimpinnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Jika parti tidak ada lagi isu dan masalah, kita boleh bangun semula.
“Saya sendiri yakin kalau saya timbalan presiden saya akan buat pembaharuan dan penyusuan semula.
“Saya sudah ada perancangan saya tapi tak perlulah saya beritahu dulu,” katanya. – 25 Jun, 2018.
Komen