Polis kata Siti Kasim ditahan kerana ‘culik’ anak guam


Muzliza Mustafa

Peguam dan aktivis Siti Kasim ditahan oleh polis Kajang kerana didakwa menculik anak guamnya dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas. – Gambar Facebook, 24 Jun, 2018.

PEGUAM dan aktivis Siti Kasim ditahan oleh polis Kajang kerana didakwa menculik anak guamnya sendiri, dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat mengesahkan Siti dan anak guamnya Anis Izatty Ruslan ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis Kajang malam tadi.

Difahamkan, Siti akan dibawa ke lokap Semenyih untuk direman hari ini.

Dalam satu klip video dikongsikan oleh Suri Kempe, pengurus program bagi kumpulan hak umat Islam, Musawah di laman Facebook, seorang pegawai polis memberitahu Siti bahawa beliau ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana “menculik” Anis Izatty dari hospital ketika masih dalam rawatan doktor.

Siti mendakwa ibu Anis Izatty membuat laporan polis mendakwa anak perempuannya itu berada dalam keadaan mental tidak stabil dan diculik oleh Siti dari hospital.

“Polis menahan saya hanya kerana mereka mengikut prosedur. Mereka tahu cerita ini iaitu Anis didera oleh ibunya dan saya cuba menyelamatkannya. Dia sendiri mahu ikut saya,” kata Siti kepada seorang rakan di dalam video itu.

Anis Izzaty dalam video itu juga dirakamkan memberitahu orang ramai bahawa dia tidak diculik.

“Dia tidak culik saya. Itu tipu,” kata Anis.

Siti yang berang dalam video itu berkata beliau akan menyaman polis kerana merosakkan rumahnya.

Beliau berkata polis bertindak berlebihan, menambah pihak berkuasa sepatutnya boleh saja memanggilnya dan meminta membawa Anis ke balai polis untuk soal siasat.

Turut ada dalam video itu ialah dua wanita yang mendakwa mereka ibu saudara Anis, dan kedua-dunya menyokong serta berterima kasih kepada Siti kerana membantu menyelamatkan Anis daripada ibunya.

Berkenaan tuduhan menculik, Fadzil berkata mereka sedang menyiasat pelbagai aspek dalam kes itu.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut. – 24 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen