Keputusan pemilihan sayap Umno diumum 5 petang Ahad


Radzi Razak

Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusoh berkata keputusan akan diumumkan secara rasmi pada petang Ahad.– Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Jun, 2018

56 daripada 191 Bahagian Umno masih belum menghantar keputusan rasmi pemilihan peringkat bahagian dan sayap pusat setakat jam 12.30 malam tadi kata Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, kelewatan ini disebabkan masih ada bahagian yang tidak menyelesaikan persidangan dan proses pengundian mereka dan keputusan rasmi hanya akan diumum Jawatankuasa Pemilihan Umno pada jam lima petang ini.

“Setakat ini, ibu pejabat masih belum menerima keputusan di satu bahagian di Perlis, enam di Selangor, Perak (6), Wilayah Persekutuan (10), Negeri Sembilan (4), Melaka (2), Johor (1), Pahang (6), Terengganu (2), Kelantan (6) dan Sabah (6).

“Masih ada (bahagian) yang sedang kira undi, masih mengundi pun ada. Sehubungan itu keputusan muktamad akan dikeluarkan esok (Ahad),” katanya pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat Umno malam tadi.

Ab Rauf berkata sebarang keputusan yang tidak diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilih Umno di media sosial merupakan keputusan tidak rasmi.

“Peratus bahagian menghantar secara rasmi dalam 45%. Kami masih lagi menunggu. Saya akan memberikan keputusan rasmi yang telah diperincikan jam 5 petang esok. 

“Apa saja yang diterima melalui media sosial ialah secara tak rasmi,” tambah beliau.

Setakat jam 1 pagi tadi, saingan bagi jawatan ketua Pemuda masih sengit yang mana Dr Asyraf Wajdi mendahului dengan 21 undi bahagian diikuti Shahar Abdullah 20 undi Bahagian sementara Khairul Azwan Harun mendapat 15 undi bahagian setakat ini

Persaingan turut sengit untuk Ketua Wanita dengan Noraini Ahmad mendahului dengan 34 undi Bahagian hanya berbeza dua undian dengan Azizah Mohd Dun yang mendapat 32 undi.

Bagi jawatan Ketua Puteri Umno pula, Zahida Zarik Khan selesa mendahului dengan 73 undi Bahagian sementara pesaingnya Nor Hazreena Hashim hanya memperoleh 9 undi Bahagian setakat ini. – 24 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen