Buktikan pembatalan GST 60 barang bukan gimik pilihan raya


KEGAGALAN Putrajaya mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 6% terhadap lebih 60 barangan keperluan asas terutama makanan mentah yang sebelum ini berkadar sifar atau dikecualikan dengan pembatalan saat akhir susulan tentangan awam menggambarkan niat terselindung kerajaan Persekutuan agar rakyat terus terbeban demi poket dan kelangsungan politik BN/Umno.

Hal ini bukti ikrar BN/Umno yang kononnya faham “denyut nadi naluri rakyat” hanya omong-omong kosong dan ungkapan lunak memancing undi.

Hakikatnya, cadangan menambahkan bebanan rakyat seumpama ini sebahagian strategi BN/Umno untuk memastikan kantung rejim itu sentiasa “sarat” dan sedia pakai untuk disalah guna atau diselewengkan.

Ternyata kuasa sebenar adalah di tangan rakyat apabila tidak sampai beberapa jam selepas laporan media dan pengesahan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Subromaniam Tholasy mengenai penguatkuasaan GST 6% bermula 1 Julai 2017 itu, kerajaan Persekutuan terpaksa membuat pusingan U secara tiba-tiba seolah-olah “terpukul” gelombang kebangkitan rakyat terutama di media sosial.

GST itu pada mulanya hendak dikenakan bagi produk makanan seperti hasil laut, sayur-sayuran, buah-buahan, rempah-ratus, teh, kopi, bihun, mi, laksa dan pelbagai lagi atas alasan barangan berkenaan “bukanlah kegunaan orang ramai”.

Setelah mengambil kira potensi impak terhadap pola pengundian yang memihak kepada BN/Umno pada PRU14 yang diramalkan tidak lama lagi, cadangan anti rakyat berkenaan terpaksa dibatalkan.

Namun, tiada penegasan oleh rejim BN/Umno sama ada pembatalan tersebut untuk selama-lamanya, atau hanya bersifat sementara sehingga PRU14 selesai.

Ini belum dihitung kemungkinan kadar standard GST dinaikkan ke 8% malah 10% jika rejim BN/Umno merasakan mereka mendapat mandat lebih besar dengan kemenangan hipotetikal 2/3 Parlimen pada PRU14.

Sehubungan itu, saya mendesak kerajaan Persekutuan tegaskan dengan penuh keyakinan yang pembatalan pelaksanaan GST 6% bagi lebih 60 barangan ini adalah kekal selamanya.

Kegagalan berbuat demikian hanya membuktikan pembatalan ini tidak lebih daripada muslihat politik untuk mengaburi minda rakyat.

Saya ulangi komitmen Pakatan Harapan yang konsisten dengan hidup rakyat Malaysia tanpa GST yakni bermula dengan kadar GST sifar bagi semua barangan dan perkhidmatan keperluan asas termasuklah bahan berkaitan makanan, ubatan dan pendidikan. – 20 Jun, 2017.

* Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Naib Presiden Pengarah Pilihan raya Bersama PKR.

* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen