35% undi pemilihan sayap Umno selesai dikira 9 malam


Radzi Razak

Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusoh bercakap kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat Umno di PWTC hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Jun, 2018


HANYA kira-kira 35% daripada undi di 191 bahagian Umno bagi pemilihan tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di peringkat pusat dan bahagian selesai dikira setakat pukul 9 malam tadi, kata Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusoh.

“Laporan semasa keputusan peringkat nasional yang sudah disahkan setakat ini 35 peratus. Ada lima bahagian masih bermesyuarat malam ini,” kata Rauf dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno hari ini.

Ab Rauf menjangka sehingga 60% keputusan akan dapat diketahui menjelang 12 tengah malam ini.

Setakat 9 malam tadi, keputusan menunjukkan Ketua Pemuda Umno Pahang, Shahar Abdullah mendahului persaingan jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia dengan 14 undi sementara Asyraf Wajdi Dusuki di tangga kedua dengan 10 undi. Naib ketua Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun mendapat 8 undi.

Pemilihan Umno dijalankan oleh ahli-ahli di akar umbi dan pemenang di peringkat bahagian membawa satu undi yang dikumpulkan dan disahkan oleh pihak ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Setakat pukul 9 malam juga persaingan turut sengit bagi jawatan ketua Wanita dengan Azizah Mohd Dun mendapat 20 undi diikuti Noraini Ahmad dengan 17 undi.

Bagi jawatan ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan selesa mendahului dengan 52 undi sementara pesaingnya Nor Hazreena Hashim hanya memperoleh 4 undi setakat pukul 9 malam tadi.

Sementara itu, Ab Rauf mengesahkan 74 ketua bahagian Umno menang tanpa bertanding sementara lebih kurang 50% ketua sayap Wanita dan Puteri menang tanpa bertanding masing-masing 108 dan 126. Ketua Pemuda Umno di peringkat bahagian yang tidak dicabar pula seramai 85 orang.

Mengulas mengenai laporan beberapa insiden di bahagian Kemaman, Terengganu dan Bukit Bintang di Kuala Lumpur, Rauf berkata insiden demikian tidak menjejaskan pemilihan setakat ini.

“Kita ada Jawatankuasa Pemilihan, boleh rujuk jawatankuasa pemilihan pusat jika terdapat masalah.

“Setakat ini kita (ibu pejabat) tak dapat laporan lagi (mengenai insiden yang dilaporkan). Walaubagaimanapun ia tak mengganggu keputusan pemilihan di peringkat bahagian,” katanya.

Menurut laporan media, insiden di Kemaman melibatkan aduan mengenai kekurangan kertas undi dan di Bukit Bintang melibatkan pergaduhan kecil antara ahli yang mengundi.– 23 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen