Lebih 400 pendatang diselamatkan di perairan Sepanyol 


Pasukan penyelamat kebangsaan Sepanyol membawa pendatang haram yang diselamatkan di pelabuhan Motril di selatan Sepanyol.– Gambar EPA, 23 Jun, 2018.

SERAMAI 418 pendatang haram diselamatkan dalam tiga operasi yang dijalankan di perairan Sepanyol pada Sabtu, kata perkhidmatan penyelamat kebangsaan.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 262 diselamatkan dari 15 buat kapal di Selat Gibraltar, kata Salvamento Maritimo di Twitter.

27 lagi ditemui di laut Mediterranean antara Sepanyol dan Maghribi dan 129 lagi di perairan Pulau Canary di Lautan Atlantik.

Operasi berkenaan dijalankan enam hari selepas 630 orang pendatang tiba di pelabuhan Valencia, Sepanyol menaiki tiga buah kapal, termasuk kapal penyelamat NGO, Aquarius.

Kapal Aquarius menyelamatkan pendatang di perairan Libya pada 9 jun namun kerajaan populis baharu Itali dan Malta enggan membenarkan ia berlabuh, mencetuskan gesaan antarabangsa sebelum Sepanyol tampil untuk membantu.

Jerman memanggil satu sidang kemuncak mini pada Ahad bagi membincangkan isu pendatang.

Sepanyol merupakan destinasi ketiga paling popular untuk pendatang haram dalam Kesatuan Eropah tahun lalu selepas Itali dan Greek.

Kebanyakan pendatang menaiki bot dari pesisir pantai di utara Maghribi ke pesisir pantai di selatan Sepanyol, dengan jarak kira-kira lebih 100 kilometer bergantung kepada laluan. – AFP, 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen