73 ketua bahagian Umno menang tanpa bertanding


Radzi Razak

Naib Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat umno hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Jun, 2018

SEJUMLAH 73 daripada 191 atau 38% ketua bahagian Umno menang di bahagian masing-masing selepas tidak dicabar pada pemilihan parti kali ini, umum naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, keputusan tersebut memperlihatkan demokrasi dalam pemilihan Umno berjalan dengan baik.

“Ini satu manifestasi demokrasi dijalankan secara terbaik. Bahagian memperkirakan terdapat tokoh tertentu yang tak perlu ditukar, menurut mereka.

“Di samping itu juga keputusan Majlis Tertinggi untuk membuka jawatan-jawatan di peringkat nasional untuk ditandingi telah membuka ruang seluas-luasnya bagi ahli-ahli yang layak untuk menawarkan diri,” kata Zahid dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Zahid bagaimanapun tidak memberikan perincian lanjut maklumat mengenai ketua-ketua bahagian yang menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun The Malaysian Insight difahamkan antara ketua bahagian Umno yang tidak dicabar termasuk Zahid sendiri di Bagan Datoh, Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas), Zambry Abdul Kadir (Lumut) dan Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas).

Sementara itu, Zahid melihat pemilihan kali ini bersikap kekeluargaan dan menunjukkan kematangan ahli Umno yang bertanding tanpa sikap dendam atau permusuhan.

“Kita lihat juga terdapat kemeriahan dalam pemilihan kali ini di mana ibu pejabat Umno Malaysia bersama pejabat perhubungan negeri telah mengadakan majlis pengenalan calon-calon di peringkat negeri,” kata beliau.

Setakat ini, lima negeri sudah menganjurkan sesi pengenalan calon kepada ahli-ahli Umno di akar umbi.

Tambah Zahid, majlis pengenalan calon di peringkat negeri akan terus dijalankan di sehingga sebelum pemilihan berlangsung pada 30 Jun ini.

“Mulai hari ini, jelajah pengenalan calon akan terus dilakukan bagi negeri-negeri yang masih belum kita lawati.

“Tumpuan akan diberikan kepada calon-calon yang bertanding di peringkat nasional sahaja,” katanya.

Semua 191 bahagian Umno akan mengundi pada 30 Jun ini, memilih pimpinan di peringkat bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi.– 23 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen