Zahid bertanding untuk kesinambungan kepimpinan Umno, BN


Radzi Razak Kamles Kumar

Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan kekal memberi sumbangan kepada parti sekalipun kalah dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung 30 Jun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Jun, 2018.

CALON presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bertanding untuk memberi kesinambungan kepimpinan parti itu serta Barisan Nasional (BN). 

Menurut Zahid, ini kerana beliau sebelum ini telah diberi amanat untuk menggalas tugas presiden Umno dan memangku jawatan pengerusi BN selepas Pilihan Raya Umum lalu. 

“Saya mahu memberikan kesinambungan kepimpinan kerana saya diberi amanat laksanakan tugas sebagai presiden Umno setakat ini, maka tawaran saya bertanding ini sebagai kesinambungan,” kata beliau dalam sidang media hari ini. 

Zahid bakal dicabar mantan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah selain Mohamed Iqbal Maricair (Bahagian Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (Bahagian Iskandar Puteri).

Zahid turut berkata beliau akan kekal memberi sumbangan kepada parti sekalipun kalah dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung 30 Jun ini. 

“Saya, InsyaAllah akan terus kekal dan akan terus membantu sesiapa saja yang jadi presiden Umno dan sumbangkan idea untuk kuatkan Umno dan jika saya menang, saya tak akan tinggalkan sesiapa pun,” kata beliau. 

Pemilihan kali ini merupakan kali pertama dalam tempoh Lima tahun selepas Umno menangguhkan pemilihan parti dua tahun lalu. 

Zahid berkata beliau telahpun memberi amaran agar amalan politik wang yang dikaitkan dengan parti selama ini dihapuskan dan sesiapa yang terlibat haruslah diadukan kepada ibu pejabat dan lembaga disiplin parti. 

“Kita perlukan laporan rasmi di hantar ke ibu pejabat kita akan perlukan laporan ke lembaga displin.

“Saya telah menyatakan bahawa kita harus hapuskan amalam politik wang 100%. Sebarang jawatan ditandingi dari serendah sehingga kepimpinan tertinggi hendaklah sifar wang. Sokongan perlu kepada mereka yang ada kredibiliti bukan yang beri wang,” katanya lagi. 

Selain itu, Zahid turut berkata dalam langkah Umno menjadi pembangkang yang bertanggungjawab, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu diberi peluang melaksanakan manifesto mereka dan membentuk Kabinet agar pentadbiran dapat berjalan dengan baik. 

“Kita lihat kita harus akui bahawa Umno dan BN mengalami kekecundangan, kita gagal dalam pembentukan sebuah kerajaan.

“Kita harus beri peluang kerajaan yang ada sekarang untuk menunaikan dan melunaskan semua aku janji dalam manifesto. Kita juga berlapang dada dan berfikiran terbuka selepas 100 hari kerajaan sekarang dengan pelantikan menteri dan timbalan serta beberapa langkah memulihkan ekonomi dan agenda lain demi kepentingan rakyat,” kata Zahid lagi. – 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen