Umno tidak akan setuju usul buka parti kepada bukan Melayu, kata Zahid


Radzi Razak Kamles Kumar

Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan Khairy Jamaluddin itu bukan sesuatu yang baru malah ketika dikemukakan oleh pengasas dan presiden pertama, Onn Jaafar dahulu pun, Umno menolaknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Jun, 2018.

UMNO tidak akan menerima cadangan membuka keahlian parti itu kepada bukan Melayu, kata pemangku presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, mengulas idea calon presiden Khairy Jamaluddin untuk Umno kekal relevan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah beliau membayangkan, bakal bekas ketua Pemuda Umno itu menggunakan cadangan penambahbaikan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang ditugaskan kepadanya sebagai bahan kempen pemilihan parti itu.

Menurut Zahid, cadangan Khairy itu bukan sesuatu yang baru malah ketika dikemukakan oleh pengasas dan presiden pertama Umno, Onn Jaafar dahulu pun, Umno menolaknya.

“Saya menghormati pendirian dan pendapat beliau (Khairy). Beliau boleh lakukannya jika dilantik sebagai presiden baru.

“Saya mahu lihat penterjemahan perkara itu berjaya atau tidak,” kata Zahid dalam sidang media di ibu pejabat Umno, hari ini.

“Datuk Onn Jaafar telah cadangkan dulu. Tengok apa terjadi kepadanya.”

Onn meninggalkan Umno selepas cadangannya itu ditolak pada Ogos 1951 dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya dan kemudian Parti Negara. Kedua-dua parti itu tidak mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya umum berbanding Perikatan yang dibentuk sebagai kerjasama Umno, MCA dan MIC.

Zahid menjelaskan, selepas PRU14 yang lalu, Khairy sudah diamanahkan untuk mengetuai sebuah pasukan khas mencadangkan pembaharuan dan penjenamaan semula BN, yang akan turut melibatkan perubahan dalam Umno.

“Saya telah memberikan satu tanggungjawab kepada saudara Khairy untuk ketuai sebuah task force untuk penjenamaan semula, merombak dan mencadangkan perubahan parti dan BN dari tempoh 30 hari selepas mesyuarat BN lalu,” katanya. 

Zahid pertama kali mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas itu selepas mesyuarat dengan majlis tertinggi BN pada 14 Mei lalu, dua hari selepas Najib Razak letak jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN, dan menyerahkan tugas memangku kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

Menurut Zahid, cadangan itu bagaimanapun perlu dipersetujui secara kolektif oleh BN dan Umno melalui mesyuarat khas, namun beliau mendakwa cadangan itu kini digunapakai oleh Khairy dalam kempennya dalam pemilihan Umno.

Khairy mula melontarkan idea membuka Umno kepada bukan Melayu dalam wawancaranya dengan sebuah media asing yang disiarkan pada 15 Mei.

Selain Zahid dan Khairy, tiga calon lain turut bertanding jawatan presiden Umno iaitu Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah serta dua ahli Umno, Mohammed Iqbal Maricair (Bahagian Bandar Tun Razak) dan Yusof Musa (Bahagian Iskandar Puteri).

Zahid, Khairy dan Razaleigh dijadual menyertai debat calon presiden Umno pada 29 Jun ini, sehari sebelum pemilihan serentak di 191 bahagian Umno di seluruh negara. – 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen