Zahid tidak tolak kemungkinan Umno tubuh badan penasihat


Radzi Razak Kamles Kumar

Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang keputusan merombak struktur parti itu perlu mendapat persetujuan Majlis Tertinggi dan disahkan dalam Perhimpunan Agung Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Jun, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan Umno menubuhkan sebuah badan penasihat dalam rangka menyusun semula parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14, tetapi katanya, ia terserah kepada keputusan ahli parti.

Zahid, yang memangku tugas presiden Umno berkata, sebarang keputusan merombak struktur parti itu perlu mendapat persetujuan Majlis Tertinggi dan disahkan dalam Perhimpunan Agung Umno, sebagai badan pembuat dasar tertinggi parti.

Jelas beliau, badan penasihat atau jawatan penasihat itu tidak semestinya sama seperti yang ada dalam parti-parti politik lain.

“Kita tak ikut acuan mana-mana parti politik lain untuk dilaksanakan dalam organisasi pentadbiran, termasuk cadangan mereka yang tidak berpluang menang untuk gunakan pengalaman dan idea mereka untuk wujudkan Umno baru. Ianya pasti dibawa mesyuarat Majlis Tertinggi. 

“Kita mahu melihat bahawa dari segi holistik perubahan harus dilakukan dari struktur organisasi seperti badan penasihat atau majlis syura yang perlukan pengesahan majlis tertinggi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno, hari ini.

Menurut Zahid, baik apa bentuk sekalipun, Umno dan Barisan Nasional (BN) mesti berubah secara menyeluruh kalau mahu kekal relevan dalam politik Malaysia.

Perubahan itu termasuk yang mungkin perlu melibatkan pindaan kepada perlembagaan parti, katanya, dan menambah tidak wajar untuk beliau memperincikan cadangan-cadangan itu kerana ia perlu dipersetujui pada peringkat Majlis Tertinggi parti.

Zahid bagaimanapun menyebut kemungkinan membuka keanggotaan Umno dan BN kepada sukarelawan dan penyokong, yang tidak semestinya berdaftar sebagai ahli.

“Kita mempunyai banyak pendekatan tak perlu saya memperincikan kerana saya hormati hak Majlis Tertinggi dan hak Perhimpunan Agung Umno seperti merombak piagam bukan saja Umno tapi struktur organisasi BN,” katanya.

Bagaimanapun Zahid menegaskan, semua cadangan itu perlu mendapatkan maklum balas daripada akar umbi parti sendiri.

Dalam pada itu, Zahid yang bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti 30 Jun ini berkata, Umno dan parti komponen BN akan terus kekal dengan imej agenda kaum masing-masing kerana gabungan seperti BN sudah cukup untuk memastikan hak kaum dijaga dengan baik. 

Ini termasuk dengan fungsi Umno yang memartabatkan Agama Islam, hak istimewa Melayu, sistem Diraja dan Bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Umno tak akan meminta lebih daripada apa yang ada dalam Perlembagaan, kita mahu kontrak sosial dilaksanakan sepenuhnya. Sebab itu perpaduan orang Melayu di dalam dan luar Umno harus dikekalkan tanpa mempertikai hak kaum lain,” katanya. – 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen