ARGENTINA menerima AS$15 bilion (RM60 bilion) pertama daripada jumlah keseluruhan AS$50 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kata bank pusat negara Amerika Selatan itu semalam.
Awal Jun lalu, IMF mengumumkan pinjaman berjangka AS$50 bilion tersebut selepas Argentina memohon bantuan untuk meningkatkan keyakinan pasaran ekoran krisis mata wang pada April dan Mei.
Nilai peso menjunam ke paras terendah bulan ini dan sejak awal tahun, ia jatuh lebih daripada 30% berbanding dolar.
Pada Rabu, IMF yang berpengkalan di Washington meluluskan bnatuan pinjaman AS$50 bilion. Ia berkata AS$15 bilion pertama itu sebagai sokongan belanjawan manakala baki AS$35 bilion lagi untuk “langkah berjaga-jaga”.
IMF berkata bantuan itu akan menyokong usaha Bueno Aires meletakkan hutang awam di jalan yang lebih kukuh, mengurangkan keperluan pembiayaan dan mengatasi inflasi di samping memperkuat kebebasan bank pusat sambil mengekalkan perbelanjaan sosial. – AFP, 23 Jun, 2018.
Komen