Debat calon presiden bukan medan dedah kelemahan peribadi dan parti, kata Khairy


Mohd Farhan Darwis

Khairy Jamaluddin bersama calon timbalan presiden Mohamad Hasan di mesyuarat sayap-sayap Umno Bahagian Rembau di Senawang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Jun, 2018.

KETIGA-tiga calon jawatan presiden Umno yang bersetuju untuk berdebat perlu mengambil sikap positif amalan itu kerana ia bukanlah medan mendedahkan kelemahan, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Jawatan presiden Umno ditandingi lima calon, tetapi tiga calon yang jadi tumpuan ramai adalah Khairy, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan penyandang jawatan presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Idea debat berkenaan dicadangkan Tengku Razaleigh dan disambut Khairy. Zahid juga dilaporkan bersedia menyertai sesi debat berkenaan.

Debat berkenaan, kata Khairy, adalah perbincangan masa depan dan hala tuju Umno selaku pembangkang persekutuan kini.  

“Ketiga-tiga calon perlulah ambil sikap positif, ini bukan debat parti lawan (dalam) pilihan raya.

“Saya tidak lihat debat ini sebagai tempat untuk dedahkan kelemahan dan juga perkara dalaman parti, ini adalah tempat untuk kita bincang masa depan dan hala tuju Umno dan perancangan kita apabila sudah jadi pembangkang.

“Siapa ada perancangan terbaik untuk membawa Umno ke hadapan, kalau debat dapat dijalankan atas semangat tersebut saya rasa tidak ada masalah,” katanya pada sidang media selepas perasmian mesyuarat Umno Bahagian Rembau di Senawang, hari ini.

Khairy menambah, beliau yakin debat berkenaan akan dapat dilaksanakan penuh hemah selaras dengan semangat kekeluargaan dan adab Umno.

“Ini perbincangan antara keluarga Umno yang dapat pamerkan Umno baru yang bukan menyerang satu sama lain. Kita faham adab kita dalam parti,” katanya.

Pemilihan jawatan tertinggi Umno akan berlangsung 30 Jun depan, pemilihan kepimpinan sayap pula berlangsung serentak di seluruh negara hari ini. – 23 Jun, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen