AMERIKA Syarikat (AS) dan Korea Selatan setuju untuk menangguhkan dua program pertukaran latihan bagi menyokong rundingan diplomatik dengan Korea Utara, kata Pentagon semalam.
Langkah tersebut diambil ekoran kedua-dua negara mengumumkan penangguhan latihan berskala besar Ulchi Freedom Guardian yang dijadualkan pada Ogos, yang dijanjikan Presiden AS Donald Trump ketika sidang kemuncaknya dengan pemimpin Korea Utara.
Keputusan semalam menyusul satu mensyuarat penting antara Setiausaha Pertahanan Jim Mattis, Setiausaha Negara Mike Pompeo, Pengerusi Ketua Turus Bersama Joe Dunford dan Penasihat Keselamatan Negara John Bolton.
“Bagi menyokong pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak Singapura dan selari dengan sekutu kami, Republik Korea, Setiausaha Mattis telah menangguh latihan tersebut,” kata jurucakap Pentagon, Dan White menerusi satu kenyataan.
Dua latihan Program Pertukaran Tentera Laut Korea dijadualkan diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang kini ditangguhkan.
Kira-kira 17,500 anggota tentera AS dijangka akan mengambil bahagian dalam latihan Freedom Guardian. – AFP, 23 Jun, 2018.
Komen