5 pesalah seksual dibebas ikat jamin, rakyat Sepanyol tunjuk perasaan


Bantahan berlaku di seluruh Sepanyol apabila lima lelaki yang disabitkan kesalahan seksual kerana menyerang seorang wanita berusia 18 tahun pada 2016 dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan. – Gambar AFP, 23 Jun, 2018.

PENUNJUK perasaan turun ke jalanan seluruh Sepanyol untuk hari kedua pada Jumaat selepas lima lelaki yang dijatuhi hukuman lima tahun penjara kerana serangan seksual ke atas seorang wanita di festival lembu di Pamplona dibebaskan dengan ikat jamin.

Kumpulan lelaki itu yang menggelarkan diri mereka “The Pack” dalam kumpulan bual bicara di WhatsApp didakwa merogol seorang wanita ketika itu berusia 18 tahun pada 17 Julai 2016, hari permulaan Festival San Fermin yang menarik ribuan pelawat.

Kelima-lima mereka berusia antara 27 hingga 29 tahun disabitkan bersalah atas tuduhan penderaan seksual April lalu tetapi dibebaskan daripada dakwaan serangan seksual- termasuk rogol- kerana mahkamah mendapati mangsa tidak diugut atau dikasari.

Lelaki itu kemudian membuat rayuan dan sebuah mahkamah di Pamplona pada Khamis mengarahkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin AS$7,000 sementara menunggu rayuan.

Ribuan orang pelbagai peringkat umur melakukan tunjuk perasaan di luar Kementerian Kehakiman di tengah Madrid pada petang Jumaat, selepas lima lelaki itu dibebaskan setelah dua tahun ditahan.

“Saya terkejut dengan keputusan mahkamah,” kata Aratz Beranoaguirre, seorang ahli geologi kepada AFP di Madrid.

“Lelaki diajar dengan idea yang kita boleh lakukan apa sahaja, dan dengan penghakiman ini anda dapat lihat yang kita diajar yang rogol juga tak kena apa-apa.”

Penunjuk perasaan melaungkan: “Mereka tak percayakan kami jika kami tak dibunuh.”

Bantahan lain turut diadakan di Seville, bandar asal lima lelaki itu, Pamplona- di mana hadirin memegang sepanduk besar tertulis: “Tidak adalah tidak. Keadilan!” di luar bangunan majlis perbandaran- Granada dan banyak lagi tempat.

Ribuan lagi sudah melakukan tunjuk perasaan di Pamplona, Bilbao, Barcelona dan bandar lain pada Khamis selepas mahkamah membuat penghakiman.

Bantahan selepas penghakiman April lalu juga menarik ribuan penunjuk perasaan.

Dalam penghakiman Jumaat lalu, Mahkamah Navarre mengatakan kelima-lima mereka dibebaskan dengan ikat jamin kerana tekanan masyarakat menyebabkan “hampir mustahil” mereka melakukan kesalahan sama.

Semua lelaki itu akan dipantau. Pasport mereka ditarik dan perlu melaporkan diri ke mahkamah tiga kali seminggu.

Mereka juga dilarang pergi ke Madrid, tempat tinggal mangsa.

Salah seorang lelaki itu adalah anggota polis dengan Guardia Civil- kini digantung tugas- dan seorang lagi adalah anggota tentera. Beberapa orang lagi adalah “ultras” FC Sevilla.

Fakta kes menunjukkan mereka merakam jenayah itu dan menyebarkannya dalam WhatsApp untuk berbangga-bangga, mencetuskan kemarahan seluruh negara. – AFP, 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen