Pembangkang ajak Erdogan berdebat di televisyen


Muharrem Ince, wakil rakyat lantang daripada Parti Rakyat Republik (CHP) adalah pesaing utama Recep Tayyip Erdogan. Perhimpunan dianjurkan partinya untuk kempennya menarik ribuan penyokong. – Gambar AFP, 23 Jun, 2018.

PESAING utama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada perhimpunan besar-besaran di Ankara pada Jumaat mencabar ketua negara itu berdebat dengannya di televisyen, menyifatkannya sebagai “peluang terakhir.”

“Esok adalah malam terakhir. Jika anda berani, berdepan dengan saya,” kata Muharrem Ince, wakil rakyat lantang daripada Parti Rakyat Republik (CHP) di depan ribuan penyokongnya yang hadir di Ankara.

“Itulah cadangan terakhir saya kepada anda…jika anda mahu, saya boleh batalkan perarakan saya di Istanbul. Mari, berdepan dengan saya, mari berdebat dalam TV,” katanya.

Ini adalah perarakan kedua dilakukan pemimpin pembangkang dalam tempoh dua hari.

Kempen Ankara berlaku selepas sehari Ince mengumpulkan ribuan penyokongnya dalam perhimpunan pilihan raya terbesar di Bandar Aegean, Izmir. Beliau dijangka mengadakan satu lagi perarakan di Istanbul Ahad ini.

Erdogan, calon pilihan pilihan raya presiden sebelum ini berulang kali menolak pelawaan calon presiden lain untuk berdebat di televisyen, berkata: “Saya tak mahu orang guna saya untuk sebarkan pandangan mereka”.

Ince menyuntik nafas baru dalam kempen presiden dengan kemahiran oratornya yang setanding Erdogan. Ramai penganalisis berpandangan Ince boleh mengheret Erdogan masuk ke dalam pusingan kedua pilihan raya presiden dijadualkan berlaku 8 Julai nanti.

Di Ankara, Ince menuduh agensi berita negara Anadolu dan TRT melakukan “jenayah perlembagaan” kerana liputan tidak setara.

“TRT siarkan Erdogan 181 jam, Muharrem Ince untuk 15 jam,” katanya. – AFP, 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen