Korea Utara masih ancaman nuklear dunia, kata AS


Selepas sidang kemuncak antara Donald Trump dan Kim Jong Un yang berlangsung bulan ini, AS masih menyifatkan ancaman nuklear Korea Utara besar dan luar biasa, bertentangan dengan kenyataan Trump sebelum ini. – Gambar AFP, 23 Jun, 2018.

PRESIDEN AS Donald Trump pada Jumaat memetik asas “ancaman besar dan luar biasa” senjata nuklear Korea Utara untuk terus melanjutkan sekatan ke atas rejim Kim Jong Un walaupun menyifatkan sidang kemuncak bulan ini sebagai bersejarah.

Selepas kembali ke Washington minggu lepas mengatakan sidang itu satu kejayaan, pemimpin AS itu menulis di akaun Twitternya: “Tidak ada lagi ancaman nuklear dari Korea Utara.”

“Tidur nyenyak malam ini!” tambahnya pada 13 Jun sehari selepas pertemuan di Singapura.

Tetapi, deklarasi presiden yang dihantar ke Kongres pada Jumaat mempunyai nada yang berlainan apabila ia menjelaskan mengapa pentadbirannya akan meneruskan sekatan ketat ekonomi yang pertama sekali diperkenalkan pentadbiran George W Bush.

“Kewujudan dan risiko penggunaan material senjata berpandu di Semenanjung Korea dan tindakan serta dasar Kerajaan Korea Utara terus mewujudkan ancaman luar biasa dan besar kepada keselamatan negara, dasar luar dan ekonomi Amerika Syarikat,” katanya.

“Saya akan teruskan (pelan) kecemasan nasional selama setahun lagi,” tambah kenyataan itu.

Walaupun notis itu dianggap belum rasmi, percanggahan nada yang wujud menggambarkan pegawai AS masih dalam masa sukar berunding dengan Pyongyang untuk menghapuskan ancaman senjata nuklear negara itu.

Pada sidang kemuncak itu, Kim dan Trump menandatangani ikrar “untuk bekerjasama ke arah penghapusan sepenuhnya nuklear di Semenanjung Korea,” terma yang digemari Pyongyang berbanding desakan AS yang mahukan Korea Utara menyerahkan semua senjata nuklearnya dalam cara “yang boleh disahkan” dan “tidak boleh diundur kembali.”

Pengkritik sudah membangkitkan amaran tentang penggunaan perkataan yang kabur maksudnya dalam dokumen sidang kemuncak yang tidak ada ikatan perundangan itu seterusnya menimbulkan kebimbangan yang sidang itu boleh melemahkan kerjasama antarabangsa yang selama ini memberikan tekanan kepada program nuklear Korea Utara. – AFP, 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen