PAS menang Kelantan, Terengganu kerana strategi BN


Zulkifli Sulong

PAS menjadi parti paling beruntung dalam pertandingan tiga penjuru dirancang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14, menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE).

Kajian yang dibuat ke atas data PRU14 itu menunjukkan, jumlah undi popular diraih PAS di Kelantan dan Terengganu adalah sama dengan angka semasa PRU13 dan PRU12 yang lalu.

“Namun apabila undi BN berpecah kepada PH, ketika undi PAS kekal teguh, maka PAS menang di kedua-dua negeri itu,” kata Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Dr Redzuan Othman kepada The Malaysian Insight.

Menurut kajian itu, PAS mengekalkan undi popular sebanyak 48% di Kelantan dan jumlah itu naik sedikit kepada 49% di Terengganu, namun undi popular BN turun kepada 39% di Kelantan dan 41% di Terengganu.

PH pula hanya menarik 11% undi popular di Kelantan dan hanya 10% di Terengganu yang dipercayai dirampas daripada BN sebelum ini kerana undi popular PAS tetap kekal.

Dalam PRU14 lalu, PAS menang 37 kerusi di Kelantan manakala BN lapan kerusi dari 45 kerusi negeri yang dipertandingkan.

Di Terengganu pula, PAS mendapat 22 kerusi manakala BN 10 kerusi. Dalam PRU13 lalu, PAS hanya mendapat 14, BN (17) dan PKR (1).

Di Kedah, PAS mendapat 15 kerusi negeri dan lapan lagi di Pahang. – 23 Jun, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sedari dulu lagi terengganu dan kelantan menjadi kubu kuat parti pas...tiada istilah lawan 3 penjuru...2 kawasan pantai timur itu telah menjadi kubu kuat pas sedari zaman nik aziz memerintah lagi..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan