Korea Utara, Selatan setuju penyatuan semula keluarga


Pihak berkuasa dari kedua-dua negara bertemu di pusat peranginan Gunung Kumgang di Korea Selatan hari ini bagi menetapkan tarikh. – AFP, 22 Jun, 2018.

KOREA Utara dan Selatan hari ini bersetuju untuk meneruskan penyatuan semula keluarga yang terpisah akibat Perang Korea pada Ogos ini - yang pertama sejak 2015 dan langkah terbaharu dalam penyelesaian diplomatik di semenanjung itu.

Berjuta orang terpisah dalam konflik yang berlaku pada 1950-1953 yang menyebabkan Korea terbelah dua.

Ramai mati tanpa sempat bertemu atau mendengar khabar saudara-mara di seberang sempadan, di mana semua bentuk komunikasi awam diharamkan.

Penyatuan semula ini adalah antara perjanjian yang dicapai di antara pemimpin Korea Utara Kim Jong un dan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada sidang kemuncak mereka yang diadakan pada April.

Pihak berkuasa dari kedua-dua negara bertemu di pusat peranginan Gunung Kumgang di Korea Selatan hari ini bagi menetapkan tarikh.

“Penyatuan semula akan diadakan dari 20 hingga 26 Ogos, dan seramai 100 peserta akan dipilih dari setiap belah,” menurut kenyataan bersama Seoul-Pyongyang yang dikeluarkan oleh kementerian penyatuan Korea Selatan.

Hanya kira-kira 57,000 orang yang mendaftar dengan Palang Merah Korea Selatan akan bertemu saudara-mara mereka yang terpisah masih hidup, dengan kebanyakan mereka berumur lebih daripada 70 tahun.

Pyongyang mempunyai rekod panjang memanipulasi isu keluarga yang terpisah bagi tujuan politik, menolak cadangan penyatuan semula secara tetap dan membatalkan acara yang telah dijadualka pada saat-saat akhir.

Korea Utara sebelum ini menuntut tidak akan bersetuju dengan penyatuan semula keluarga-keluarga ini melainkan Seoul memulangkan semula beberapa rakyatnya, termasuk sekumpulan pelayan yang berpaling tadah dari sebuah restoran di China. – AFP, 22 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen