Vietnam tahan empat pegawai kanan syarikat minyak terlibat rasuah


Pentadbiran Vietnam mensasarkan firma minyak terbesar negara, PetroVietnam (PVN) milik kerajaan dan anak syarikatnya dalam pembanterasan rasuah yang setakat ini telah memenjarakan puluhan pesalah. – Gambar AFP, 22 Jun, 2018.

VIETNAM menahan empat eksekutif kanan syarikat minyak atas tuduhan salah guna kuasa, dalam penahanan terbaharu bagi membanteras gejala rasuah dalam sektor tenaga di negara itu.

Pentadbiran komunis Vietnam mensasarkan firma minyak terbesar negara, PetroVietnam (PVN) milik kerajaan dan anak syarikatnya dalam pembanterasan rasuah yang setakat ini telah memenjarakan puluhan pesalah.

Tindakan keras ini mengikuti tindakan sama di China.

Pengkritik berkata, kempen Vietnam ini didorong oleh keinginan untuk merombak - dan juga oleh pertikaian politik ketika pemimpin-pemimpin komunis cuba menguatkan cengkaman kuasa.

Menurut satu kenyataan dari Kementerian Keselamatan Awam (MPS), bekas pengarah syarikat usaha sama Rusia-Vietnam -  Vietsovpero, Tu Thanh Nghia dan bekas ketua akauntan d firma terbabit, Vo Quang Huy adalah antara yang terbaharu bakal dipenjarakan.

Dua lagi indidividu ditangkap ialah Dinh Van Ngoc yang pernah menguruskan Binh Son Refining and Petrochemical Company dan ketua pegawai kewangan PetroVietnam Exploration Production Corporation, Nguyen Tuan Hung.

Menurut kenyataan MPS itu lagi, keempat-empat mereka dituduh kerana menyalahguna kuasa tanpa memberi penjelasan lanjut dan akan kekal dalam tahanan semasa siasatan dijalankan.

“Kes akan disiasat di bawah arahan jawatankuasa pusat bagi anti rasuah,” sebut kenyataan itu.

Media Vietnam berkata keempat-empat individu itu mungkin telah berpakat dengan Ocean Bank - satu lagi sasaran dalam kempen anti rasuah - untuk menjana pembayaran faedah berlebihan dengan pegawai-pegawai bank.

Menurut laporan media tempatan, Ocean Bank membayar kepada firma-firma yang terlibat sebanyak AS$5.1 juta (RM20.44 juta) dalam bayaran faedah lebihan antara 2010 dan 2014.

Puluhan pekerja Ocean Bank disabitkan kesalahan rasuah termasuk bekas pengarah Nguyen Xuan Son yang dijatuhkan hukuman mati pada tahun lepas atas tuduhan seleweng dan salah urus ekonomi.

Bekas-bekas eksekutif PVN juga tidak terlepas dari hukuman, termasuk bekas pengerusi Dinh La Thang yang dikenakan hukuman penjara 31 tahun.

Vietnam telah berikrar akan memulihkan reputasinya yang dikenali sebagai salah sebuah negara paling tinggi rasuah di Asia Tenggara. Kempen anti rasuah ini mengejutkan negara itu yang tidak pernah melihat pegawai tinggi dihukum. – AFP, 22 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen