.jpg)
TIDAK dinafikan sama sekali, perubahan perlu dilaksanakan di dalam parti Umno yang memasuki usia ke-72 pada tahun ini.
Apatah lagi selepas kehilangan kerajaan pusat dan di 11 daripada 13 negeri yang membentuk Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ramai yang menuntut perubahan dalam Umno. Namun persoalannya, perubahan yang bagaimana? Apa yang perlu diubah? Siapa yang perlu diubah?
Pemilihan Umno pada 30 Jun ini adalah kesempatan terbaik untuk Umno membentuk pasukan baru di peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian yang terdiri daripada gabungan pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda yang bertenaga dan sarat dengan idea baru.
Kesempatan ini juga mesti dimanfaatkan oleh perwakilan untuk memastikan Umno dibarisi pemimpin yang boleh membawa sikap, disiplin, budaya, pendekatan dan gerak kerja baru bagi meningkatkan atau sekurang-kurangnya mempertahankan keyakinan ahli, penyokong dan rakyat.
Perubahan amat penting, tetapi tidak bermaksud prinsip dan matlamat penubuhan Umno juga mesti diubah.
Umno tidak ditolak kerana perjuangannya membela Islam, institusi Raja-raja Melayu, orang Melayu dan rakyat Malaysia, tetapi kerana rakyat hilang kepercayaan terhadap sesetengah pemimpinnya di peringkat nasional, negeri dan bahagian serta dasar dan tindakan tertentu kerajaan yang dilihat rakyat sebagai membebankan mereka.
Tanpa menyebut faktor parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, berdasarkan tinjauan selepas PRU14, pengundi tidak mengundi BN disebabkan beberapa faktor, iaitu:
Pertama adalah hilang kepercayaan terhadap beberapa orang (bukan semua) pemimpin Umno dan kerajaan BN.
Kedua, marah dan tidak suka dengan sikap dan kenyataan pemimpin Umno tertentu di peringkat nasional, negeri dan bahagian.
Ketiga dasar yang tidak populis dan tindakan jabatan serta agensi kerajaan yang dilihat menekan rakyat sehingga menjadikan BN sasaran kebencian dan kemarahan rakyat.
Keempat terpengaruh dengan janji-janji Pakatan Harapan (PH).
Dan kelima, percaya Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu boleh menggantikan peranan Umno di dalam kerajaan baru.
Sebagai salah seorang anggota parti dan kerajaan sebelum ini, saya memohon maaf di atas segala kelemahan ini dan menyeru agar penyokong dan ahli Umno untuk melihat ke hadapan, merapatkan saf serta kembali mengukuhkan parti.
Tidak dapat dinafikan lagi disebabkan lima faktor parti serta kerajaan tadi, bukan sahaja rakyat, malah pengundi tradisi juga bertindak “mengajar” BN.
Berdasarkan perbualan dengan pelbagai pihak selepas PRU14, disimpulkan, dalam kalangan pengundi tradisi BN yang marah ini, undi BN terpecah kepada tiga bahagian.
Pertama, bagi yang tidak dapat menerima DAP dan PKR, mereka mengundi PAS.
Kedua, bagi kelompok yang menganggap Bersatu boleh menggantikan Umno dalam menggalas perjuangan membela Islam dan orang Melayu, mereka mengundi PKR.
Ketiga, bagi yang tidak mempercayai PH dan PAS, mereka tidak keluar mengundi atau merosakkan undi
Bagaimanapun, BN dan Umno masih mendapat sokongan dan keyakinan sejumlah besar pengundi Islam dan Bumiputera.
Ini terbukti apabila dalam PRU14, BN (sebelum komponen di Sabah dan Sarawak menarik diri) memenangi 79 kerusi Parlimen, di mana Umno sendiri mempunyai 55 kerusi, berbanding PKR (49), DAP (42), PAS (18), PPBM (13), Amanah (10) dan Warisan (8).
Pun begitu, selepas keputusan PRU14 diumumkan, ada pengundi tradisi BN yang mengundi parti lain kerana mahu “mengajar” BN dan Umno, mula menyesal kerana tidak menyangka tindakan mereka mengakibatkan kerajaan berubah.
Ada dalam kalangan yang menyesal ini mahu Umno kembali bangkit membela Islam, orang Melayu/Bumiputera dan rakyat Malaysia seperti yang dilakukannya di dalam kerajaan sebelum ini.
Berdasarkan perkembangan terbaru, mereka merasakan Dr Mahathir dan Bersatu mengkhianati perjuangan Islam, Bumiputera dan Raja-Raja Melayu.
Sekarang mereka sedar Bersatu tidak mampu menggantikan Umno lebih-lebih lagi Bersatu adalah sebuah parti yang lemah dalam PH, iaitu hanya mempunyai 13 kerusi.
Mereka baharu tersedar kekuatan Bersatu hanya bergantung kepada Dr Mahathir semata-mata.
Mereka ragu Bersatu akan bertahan lama dan hayatnya akan tamat tidak lama selepas Dr Mahathir tiada.
Walaupun Umno perlu berubah, tetapi ia tidak boleh diubah menjadi sebuah parti sosialis atau menyokong fahaman liberalisme serta sekularisme semata-mata untuk mendapat undi.
Ikhtiar untuk perubahan dalam Umno mestilah berpaksi kepada matlamat dan prinsip perjuangan asalnya iaitu mendukung perjuangan memartabat dan membela agama, bangsa, rakyat dan tanah air.
Menawarkan diri sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno sesi 2018-2021 adalah salah satu ikhtiar saya untuk membantu agenda pembaharuan dan pengukuhan Umno.
Penawaran ini dibuat bersandarkan “track record” mengendalikan tugas dan operasi dalam parti dan kerajaan, serta komitmen untuk berkerja keras bagi mengukuhkan parti.
Penawaran ini juga adalah kerana sebagai parti pembangkang, Umno memerlukan lebih ramai individu yang berani bersuara dan bertindak untuk memastikan janji-janji kerajaan PH dipantau.
Keberanian juga penting untuk mendedahkan penipuan dan kezaliman kerajaan PH pada setiap ruang yang tersedia.
Paling penting, adalah komitmen untuk mengembalikan kepada rakyat sebuah kerajaan yang bersungguh-sungguh membela mereka sebagai ganti kepada sebuah kerajaan yang sentiasa mengada-adakan pelbagai alasan untuk tidak mengotakan janji dan mengakibatkan risiko ekonomi kepada negara. – 22 Jun, 2018.
* Tun Faisal Ismail Aziz adalah calon ahli Majlis Tertinggi Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen