TUN Razak Exchange, projek hartanah utama 1Malaysia Development Bhd (1MDB), semakin kukuh selepas HSBC berkata pada minggu lepas ia akan melabur sebanyak AS$250 juta (RM1.06 bilion) dalam pembangunan itu, lapor Bloomberg hari ini.
HSBC adalah bank asing pertama yang melabur dalam pembangunan “kelas kewangan bertaraf dunia” dengan nilai jualan yang diunjurkan sebanyak RM40 bilion.
Kementerian Kewangan pada Mei memindahkan aset hartanah TRX dan Bandar Malaysia kepada TRX City Sdn Bhd.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Putrajaya untuk menjual aset 1MDB selepas dana itu membuat hutang lebih AS$13 bilion. Dana itu kini menjadi perhatian siasatan kes rasuah utama di beberapa negara, termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Azmar Talib memberitahu Bloomberg “ia (1MDB) mempunyai impak pada masa lalu… Kami, bagaimanapun, kini berada dalam kedudukan lebih baik”.
Tanah seluas 28 hektar di tengah-tengah Kuala Lumpur kini semakin sibuk dengan aktiviti pembangunan sehingga 22 jam sehari dengan bangunan pejabat pertama dijangka siap pada 2018. Projek itu akan siap dalam tempoh 15 tahun akan datang, kata TRX.
Laluan MRT dan LRT juga akan melalui kawasan ini.
Jangkaan lebih baik adalah satu kelegaan bagi Azmar dan pasukannya selepas siri penjualan tanah kontroversial di TRX.
Pada Mei 2015, Lembaga Tabung Haji mengeluarkan sejumlah RM188.5 juta untuk memberi tanah 0.64 hektar di TRX, yang menyebabkan bantahan media sosial. Perdana Menteri Najib Razak kemudian mengarahkan dana jemaah haji menjual tanah itu.
Bagaimanapun, pada Februari 2016, Pengerusi TH Abdul Azeez Rahim berkata anak syarikatnya, TH Properties, akan membangunkan pangsapuri kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM820 juta.
Dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP adalah satu lagi entiti berkaitan dengan kerajaan yang membeli tanah dan bangunan di TRX walaupun ia membayar harga lebih rendah berbanding Tabung Haji.
Kira-kira 70% daripada tanah yang ada di TRX dikomersialkan, Azmar memberitahu portal kewangan.
“Pemindahan (aset daripada 1MDB ke TRX City) memberi kami lebih kestabilan dan meningkatkan keyakinan dalam pembangunan,” kata Azmar.
“TRX adalah projek nasional dan kami gembira kerana kami kini dapat menyiapkan projek yang tidak dibebankan dengan perkara tidak berkaitan.” – 20 Jun, 2017.
Komen