RAJA Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz Al Saud menyarankan pembaharuan gencatan senjata antara kerajaan Afghanistan dan militan Taliban.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Mahkamah Diraja Arab Saudi, Raja Salman melahirkan harapan agar gencatan senjata itu diperbaharui bagi jangka masa yang lebih panjang untuk membolehkan semua pihak bekerjasama mencapai keamanan bagi rakyat Afghanistan.
Kenyataan itu juga berkata baginda telah mengikuti gencatan senjata antara kedua-dua pihak dengan penuh minat dan melahirkan perasaan gembira serta menyokong usaha berkenaan.
“Raja juga berdoa kepada Allah agar umat Islam Afghanistan memperoleh kejayaan, bagi perdamaian untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di Republik Islam Afghanistan dan rakyatnya, yang hanya Allah sahaja yang boleh melakukannya,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Raja Salman bertitah rakyat Afghanistan yang telah lama menanggung derita akibat peperangan dan dunia Islam bersama-sama mereka, teruja untuk mengubah episod lalu dan membuka lembaran baharu berdasarkan toleransi dan perdamaian, meninggalkan keganasan dan memelihara kehidupan rakyat yang tidak bersalah berdasarkan ajaran Islam yang menolak perpecahan, kerjasama untuk mewujudkan perdamaian serta saling bermaafan sesama saudara Islam.
Pada 7 Jun, Presiden Afghanistan Ashraf Ghani mengisytiharkan gencatan senjata sementara dari 12 hingga 18 Jun sempena sambutan Aidilfitri, manakala Taliban yang melancarkan kempen keganasan terhadap kerajaan, turut mengumumkan tiga hari gencatan senjata bermula 15 Jun. – Bernama, 21 Jun, 2018.
Komen