ISTERI Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu didakwa hari ini atas tuduhan penipuan dan pecah amanah selepas polis melakukan siasatan berkenaan tuduhan beliau memalsukan perbelanjaan isi rumah, kata kementerian keadilan.
“Pendakwa raya daerah Jerusalem memfailkan pendakwaan terhadap isteri perdana menteri, Sara,
kata kementerian itu.
Tuduhan yang diumumkan tahun lalu itu mendakwa Sara dan pegawai khasnya memalsukan bahawa tidak ada tukang masak di kediaman rasmi perdana menteri menyebabkan mereka menempah makanan daripada syarikat katering luar menggunakan duit rakyat.
Kos itu “melebihi 350,000 shekels (AS$97,000)”, kata kementerian itu.
Beliau menafikan sebarang salah laku.
Suaminya juga sedang disiasat kerana disyaki atas kesalahan rasuah.
Dalam satu kes, Netanyahu dan ahli keluarganya disyaki menerima cerut mewah, champagne dan barang kemas bernilai sejuta shekels (AS$285,000, 240,000 euro) daripada personaliti kaya sebagai pertukaran kepada bantuan kewangan atau peribadi.
Dalam satu kes lain, penyiasat mengesyaki perdana menteri cuba mengadakan persetujuan dengan pemilik Yediot Aharonot, akhbar terkemuka Israel, untuk mendapatkan liputan berpihak padanya.
Netanyahu menafikan tuduhan itu dan berikrar untuk terus mengekalkan kuasa, berkata beliau adalah mangsa.
Beliau juga disyaki memberi bantuan kepada syarikat telekom terbesar Israel sebagai balasan untuk liputan berpihak kepadanya dan isteri oleh laman web berita.
Di sebalik semua itu, kajian pendapatan yang dibuat mendapati Likud, parti Netanyahu akan kekal menguasai Parlimen jika pilihan raya yang dijadualkan pada November 2019, diadakan sekarang. – AFP, 21 Jun, 2018.
Komen