Umno selesai saring calon bertanding pemilihan parti


Radzi Razak

UMNO membatalkan pencalonan beberapa individu kerana tidak melepasi kelayakan bertanding termasuk antaranya keahlian dalam parti sekurang-kurangnya tiga tahun.

Antara yang digugurkan termasuk Hizatul Isham Abdul Jalil, bekas pegawai kanan Najib Razak, yang bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT).

“Saya baru dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Umno Malaysia sebentar tadi bahawa saya tidak boleh bertanding jawatan ahli MT kali ini atas sebab teknikal iaitu khidmat saya sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian yang lalu tidak cukup tempoh selama beberapa bulan,” tulisnya di Facebook sebentar tadi.

Bagaimanapun, semakan senarai terkini calon yang disaring Umno turut mendapati calon 126 untuk jawatan MT iaitu Khaidirah Abu Zahar menjadi ahli parti pada 7 September, 2015.

Khaidirah yang lebih dikenali sebagai bekas pelakon, Dira Abu Zahar bagaimanapun menulis di laman Instagram yang beliau berterima kasih kerana diberikan kebenara bertanding dan menyelesaikan “masalah teknikal” dihadapinya.

“Saya menawarkan diri untuk bersaing secara sihat atas rasa kasih sayang dan cintakan Umno untuk sama-sama menggalas amanah bagi menebus maruah dan menjulang semula martabat Umno yang tercalar.

“Dengan No 126, saya adalah calon bongsu yang diselitkan pada saat-saat akhir selepas melalui halangan teknikal yang telah diperbetulkan,” katanya.

Mengikut senarai sebelum ini, Isham menjadi ahli Umno pada 4 November, 2014.

Selain Isham, 20 calon lain turut digugurkan dalam senarai akhir itu yang membawa bilangan semua calon yang layak bertanding kepada 106 orang.

Senarai yang dikeluarkan Umno hari ini menyaksikan nama wartawan Utusan Ramli Abdul Karim ditolak daripada senarai calon pengerusi tetap dengan Badruddin Amiruldin bakal mempertahankan jawatan itu daripada Saidon Kadis.

Sementara itu, dua calon presiden, blogger Rahmat Azim Abdul Aziz yang dikenali sebagai Mat Umno dan calon Bahagian Bangi, Roslie Saat turut digugurkan daripada senarai akhir itu.

Bagi persaingan timbalan presiden pula, Mohd Shukry Roslan daripada Bahagian Damansara turut digugurkan, menjadikannya saingan tujuh penjuru.

Ketua Setiausaha Bahagian Umno Norazuwan Aziz beberapa kali menyatakan pada sidang media Umno 17 Jun lalu bahawa ibu pejabat parti akan menapis semua ahli yang tidak memenuhi syarat tanpa kompromi.

“Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi setiap calon bertanding bagi jawatan peringkat ahli MT adalah mereka pernah menjadi ahli MT atau ahli jawatankuasa Umno Bahagian sekurang-kurangnya sepenggal atau tiga tahun,” katanya ketika ditemui selepas proses cabutan nombor calon bagi pemilihan Umno di Menara Dato’ Onn, Ahad lalu.

Sementara itu, 81 daripada 87 nama bertanding bagi jawatan exco Wanita diterima untuk bertanding sementara persaingan exco Pemuda pula menyaksikan 22 calon ditolak menjadikan seramai 184 calon merebut 15 kerusi itu.

Bagi persaingan jawatan naib ketua Puteri Umno pula, dua nama daripada tujuh calon ditolak sementara sembilan calon exco Puteri ditolak dari senarai 80 calon. – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen