Khairul Azwan jamin tak akan bangkang 'membabi buta'


Radzi Razak

Senator Khairul Azwan Harun berkata sebagai senator yang bertanggungjawab, beliau akan menyokong RUU yang membawa kebaikan kepada rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Jun, 2018.

SENATOR Khairul Azwan Harun yang dilantik atas kuota Umno berkata beliau tidak akan membangkang setiap Rang Undang-undang (RUU) yang dibawa Pakatan Harapan (PH) dengan membabi buta.

Khairul Azwan berkata sebagai senator yang bertanggungjawab, beliau akan menyokong sekiranya rang undang-undang tersebut membawa kebaikan kepada rakyat.

“Saya bukan begitu (partisan) dan kalau (RUU) itu untuk kebaikan rakyat saya pasti menyokong. Saya bukan partisan.

“Saya akan bertemu dengan kerajaan dan wakil kerajaan kalau saya dapati RUU kerajaan dan dengar cadangan mereka. Yakinlah, perkara baik saya sokong,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Khairul Azwan dilantik sebagai senator pada Disember 2016 dan layak kekal di Dewan Negara sehingga 2019.

Beliau turut menegaskan tidak akan meletakkan jawatan walaupun kerap ditanya oleh beberapa pihak selepas kekalahan BN dan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya masih seorang ahli senator sehingga Disember 2019. Banyak yang tersilap ingat jawatan Dewan Negara hilang bila Parlimen dibubarkan.

“Kerajaan tak boleh lucutkan jawatan saya sebab saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Senator hanya boleh hilang jawatan sekiranya meletakkan jawatan sendiri, bankrap ataupun didapati bersalah dalam jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Azwan turut memohon maaf kerana terlalu setia dan walak kepada pemimpin Umno sebelum ini dan tidak mahu menegur kesalahan mereka.

“Saya mengakui sebelum ini banyak salah saya daripada segi menegur kepimpinan. Itu atas dasar kesetiaan saya tak kena pada tempat. Saya sudah pun memohon maaf secara terbuka sebelum ini.”

Setakat ini terdapat 70 ahli Dewan Negara bergelar senator dan 44 daripadanya dilantik atas nasihat perdana menteri kerajaan BN sebelum ini.

Kebanyakannya akan tamat tempoh perkhidmatan pada 2019 dan 26 lagi ahli dilantik mengikut kuota negeri masing-masing.

Setakat ini PH hanya mempunyai enam senator yang dilantik mengikut kuota negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sebelum ini. – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen