Calon ketua Pemuda Umno kempen had umur 40 tahun


Radzi Razak

Calon Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun menawarkan untuk menetapkan had umur bagi jawatan tersebut dalam kempennya untuk mengekalkan keremajaan sayap parti berkenaan. – Gambar Youtube, 21 Jun, 2018. 

CALON Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun menawarkan untuk menetapkan had umur bagi jawatan tersebut dalam kempennya untuk mengekalkan keremajaan sayap parti berkenaan.

Beliau mencadangkan had umur 40 tahun untuk calon jawatan pemuda Umno dan had usia 35 tahun untuk keahlian sayap parti tersebut

Menurut beliau, ia juga bagi memastikan kepimpinan dan keahlian tidak dimonopoli oleh “panglima perang” tertentu yang menjadikan parti “kaku dan lemau”.

“Ia akan dilakukan dalam tempoh tiga tahun dan melibatkan perubahan perlembagaan (Umno). Ini saya akan bawa. 

“Bagi jawatan ketua Pemuda sekarang tiada had umur. Selepas ini kita memperkenalkan hanya mereka 40 tahun ke bawah boleh jadi pemimpin,” katanya.

Khairul yang kini berusia 41 tahun itu berkata cadangan had umur itu merupakan sebahagian daripada sembilan manifesto beliau dalam usaha mereformasi Umno.

Dalam sidang media di ibu pejabat parti tersebut hari ini, Khairul juga berkata Pemuda Umno haruslah insaf dan mengakui kesilapan mereka sehingga dilihat terputus dengan masyarakat.

Justeru, beliau mahu menganjurkan kelas bahasa Mandarin, Tamil dan kelas Al-Quran bagi memastikan pemuda Umno dapat lebih bersimpati dan empati kepada masyarakat bukan Melayu.

“Kalau itulah kesilapan, (tidak mendekati masyarakat) jangan teragak dan malu dan gagal mengakui kesilapan. Kalau tak sedar silap mana mungkin dia berubah,” kata beliau lagi.

Khairul turut berjanji untuk memberi sumbangan 50 peratus gajinya sebagai ahli Dewan Negara kepada sayap parti sekiranya menang jawatan Pemuda Umno.

“Saya akan sumbangkan 50 peratus gaji saya sebagai senator kepada tabung Pemuda Umno untuk membantu pergerakan ini,” kata beliau.

Khairul yang dilihat sebagai salah seorang penyokong bekas ketuanya, Khairy Jamaluddin, bagaimanapun enggan mendedahkan calon presiden dan majlis tertinggi yang disokongnya.

“Kita fokus pemilihan peringkat sayap dan kita tak memikirkan pertandingan di peringkat induk lagi.

“Calon pilihan saya rahsia. Saya tak akan cerita pilihan kepada sesiapa. Tapi sekarang Umno demokratik. Sesiapa rasa boleh beri sumbangan kepada parti boleh bertanding.

“Bukan saja saudara Khairy ramai lagi berpotensi dalam calon presiden itu,” kata beliau.

Khairul dijangka disaingi Ketua Pemuda Umno Pahang Mohd Shahar Abdullah; Ahli Majlis Tertinggi Asyraf Wajid Mohd Dusuki dan Pengerusi Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara Wan Haslin Agyl Wan Hassan.

Lima lagi calon yang sudah menawarkan diri sebagai ketua sayap itu termasuk Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor Jamal Yunos yang kini dalam pelarian dan diburu polis.

Selain itu, ahli Pemuda Umno yang turut dilanda kontroversi, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail juga mengumumkan untuk bertanding, selain Imran Azhar Armin, Mohd Norizat Mohd Johari dan Abdul Razak Yusof.

Pemilihan dijangka berlangsung pada 30 Jun ini, lima tahun selepas Umno menangguhkan pemilihan parti itu sejak 2013. – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen