Tiada pengecualian caj lebihan bagasi untuk rombongan Najib, kata MAS


Looi Sue-Chern

Dilaporkan bahawa rombongan Najib Razak yang berjumlah 13 orang membawa kira-kira 30 bagasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2018.

NAJIB Razak dan rombongannya tidak diberikan pengecualian caj berjumlah lebih RM17,000 untuk lebihan berat bagasi semasa menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines (MAS) untuk bercuti ke Langkawi baru-baru ini, kata syarikat penerbangan itu.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat MAS Anis Dzun Nurin berkata syarikat penerbangan negara itu mempunyai polisi yang ketat mengenai lebihan berat bagasi dan boleh mengesahkan yang tiada pengecualian caj diberikan.

Imej butiran lebihan bagasi tersebut tular di media sosial. Ia menunjukkan Najib diberikan pengecualian berjumlah RM17,071.85 untuk penerbangannya ke Langkawi dari Kuala Lumpur dengan bagasi seberat 535kg.

Bekas perdana menteri itu bercuti di pulau terbabit dari 16 Jun hingga semalam.

Dilaporkan yang rombongan Najib yang berjumlah 13 orang membawa kira-kira 30 bagasi.

Isterinya Rosmah Mansor; anak-anak mereka Nooryana Najwa dan Norashman; anak lelaki Rosmah, Riza Aziz; menantunya Daniyar Kessikbayev; dan cucu Adam Razak adalah sebahagian daripada rombongan itu.

Anis berkata MAS sedang menyiasat pihak yang menyebarkan imej berkenaan.

“MAS mengambil berat perkara ini dan sedang menyiasat pihak yang menyebarkan imej berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Anis turut menjelaskan mengenai lebihan bagasi yang dibawa oleh Najib dan rombongannya.

“Secara umumnya, apabila penumpang mendaftar masuk sebagai satu kumpulan, kesemua bagasi akan disekalikan dan ditag dengan satu nama, yang mana sistem akan mengesannya sebagai lebihan bagasi.

“Dalam situasi itu, jumlah keseluruhan bagasi yang didaftarkan masuk oleh kumpulan tersebut tidak melebihi had yang ditetapkan.”

Percutian Najib, termasuk jumlah beg yang dibawanya dan keluarganya, menjadi buah mulut di media sosial. Ada pengguna media sosial yang mendakwa mereka ingin cuba melarikan diri.

Polis Kedah berkata Najib berada di Langkawi untuk bermain golf, dan bukannya untuk melarikan diri.

Najib dan Rosmah dihalang daripada meninggalkan negara berikutan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen