AIRPORTS Thailand Public Company Limited (AOT) mengumumkan projek bernilai 42 bilion baht (AS$1 = 32.95 baht) untuk pembinaan terminal penumpang baharu di lapangan terbang Suvarnabhumi, lapor agensi berita Thailand (TNA).
Projek itu bagi menampung peningkatan permintaan trafik udara di lapangan terbang utama Thailand.
AOT menyasarkan lapangan terbang tersebut mampu menyediakan perkhidmatan kepada 65 juta penumpang tahun ini dan 68 juta tahun depan, kerana projek sebelum ini direka untuk meningkatkan kapasiti kepada hanya 60 juta penumpang setahun.
Terminal penumpang baharu dan kedua lapangan terbang Suvarnabhumi direka bagi mengendalikan 30 juta penumpang setahun selari dengan hasrat Kementerian Pengangkutan untuk menaikkan keupayaan dua lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang kepada 90 juta penumpang pada tahun depan dan 120 juta pada 2021.
Projek berkenaan turut berfungsi sebagai projek kerajaan di bawah Koridor Ekonomi Timur.
Berkeluasan 348,000 meter persegi, terminal baharu tersebut akan dihubungkan dengan 14 tempat parkir pesawat.
Ia turut dilengkapi kawasan parkir kereta seluas 84,000 meter persegi untuk menampung sehingga 3,500 kenderaan di samping mempunyai landasan kereta api elektrik.
Kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan dan siap pada 2021. – Bernama, 21 Jun, 2018.
Komen