AHLI Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii mahu Abang Johari Openg menjelaskan mengenai pertemuannya dengan Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau ingin tahu sama ada Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri ada berbincang mengenai pembentukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan ketua menteri Sarawak.
“Adakah kamu memberikan jaminan yang GPS akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) jika gabungan itu kembali berkuasa?
“Adakah wujud perjanjian rahsia antara GPS dan Umno untuk memenangi pilihan raya negeri akan datang?” soalnya selepas sebuah klip video tersebar di media sosial, menunjukkan pemangku presiden Umno itu memaklumkan yang parti komponen BN itu mendapat restu Umno untuk meninggalkan gabungan itu.
Zahid, dalam video yang dipercayai dirakam semasa Majlis Rumah Terbuka Umno Selangor itu, mendakwa beliau dan Abang Johari ada berbincang mengenai pembentukan GPS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 pada 2021 di mana Zahid mendakwa ketua menteri Sarawak itu memberikan pandangannya dan bersetuju dengan pembentukan gabungan baharu itu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka pada 7 Jun lalu menafikan ada bertemu antara satu sama lain selepas The Malaysian Insight melaporkan yang mereka bertemu untuk berbincang mengenai penarikan diri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan parti komponen Sarawak yang lain dari BN.
Parti lain itu adalah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Progressive Democratic Party (PDP).
Yii berkata Abang Johari harus menjelaskan mengenai dakwaan Zahid kepada rakyat Sarawak kerana “ia melibatkan isu kepentingan awam dan halau tuju GPS di negeri itu”.
“Rakyat Sarawak tidak harus diperdaya dengan niat GPS atau diminta untuk menyokong gabungan yang berpura-pura itu, apatah lagi jika ia sebenarnya masih ingin memberikan sokongan penuh dan menjadi sebahagian daripada BN dan Umno selepas pilihan raya negeri,” katanya
Yii berkata pengakuan Zahid yang beliau ada bertemu Abang Johari untuk membincangkan mengenai pembentukan GPS bertentangan dengan dakwaan ketua menteri itu sebelum ini.
“Jadi, persoalannya adalah sama ada pertemuan itu diadakan atau tidak?
“Sama ada satu pihak berbohong, atau kedua-duanya pun sama, dan saya percaya mereka perlu menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat.” – 21 Jun, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen