Penyerang masjid London lahir di Singapura


Pegawai forensik di tempat kejadian berhampiran masjid Finsbury Park di utara London selepas sebuah van merempuh pejalan kaki. – Gambar AFP, 20 Jun, 2017.

INDIVIDU bertanggungjawab dengan serangan masjid di London, yang mencederakan 11 orang, dua daripadanya dalam keadaan serius di warga Britain yang dilahirkan di Singapura.

The Straits Times melaporkan lelaki itu dikenal pasti akhbar British sebagai Darren Osborne, 47, tinggal di Cardiff, Wales, bersama pasangan dan empat anaknya, walaupun pihak berkuasa masih belum mengesahkannya.

Rekod awam menunjukkan Osborne dilahirkan di Singapura tetapi dibesarkan di Weston-super-Mare, Somerset Utara.

Dia memandu sebuah van ke arah pejalan kaki berhampiran Masjid Finsbury Park di utara London awal pagi tadi semasa mereka meninggalkan masjid selepas solat dalam serangan anti-Muslim yang jelas.
Pemimpin, termasuk Perdana Menteri Theresa May, yang melawat masjid, dan pemimpin pembangkang Jeremy Corbyn, mengutuk serangan itu, dan pihak polis sedang menyiasat kes yang berpotensi sebagai tindakan pengganas.

Seorang saksi memberitahu wartawan Osborne berkata “Saya mahu membunuh semua umat Islam” ketika dia ditahan orang lain, sementara imam masjid menghalang orang lain memukulnya.

Seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami serangan jantung tetapi tidak jelas jika kematian itu dihubungkan dengan serangan van.

Kejadian itu berlaku selepas serangan ganas di UK yang diakui dilakukan Islamic State (IS), termasuk rempuhan kereta dan serangan pisau di London Bridge, insiden tikaman di luar Parlimen, dan pengeboman berani diri di konsert bintang pop Ariana Grande di Manchester pada 22 Mei. – 20 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen