Nurul Izzah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa TVET


Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET). – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2018.

KEMENTERIAN Pendidikan melantik Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET).

Pelantikan naib presiden PKR itu sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Jawatankuasa ini akan berperanan untuk menyediakan sebuah laporan untuk memperkasakan dan menaikkan taraf TVET.

“YB Nurul Izzah merupakan seorang yang sangat ambil berat tentang pendidikan TVET dan berbincang dengan saya bagaimana TVET dapat membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan dan juga keusahawanan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Maszlee juga berkata sasaran kementerian adalah untuk mengangkat TVET negara setaraf dengan TVET di negara lain. 

“Di peringkat kementerian juga kita mensasarkan satu hari nanti bidang TVET ini mampu diangkat setaraf dengan pendidikan TVET di Austraila dan Jerman yang terkenal dipersada dunia,” katanya. 

Nurul Izzah yang ditemui selepas pengumuman itu berkata TVET mempunyai banyak potensi dan berbilion ringgit sudah dilaburkan untuk memperkasa aliran itu supaya setanding dengan negara luar. 

Menurutnya lagi, matlamatnya adalah menambahbaik dan memastikan lulusan TVET setanding dengan lulusan ijazah sarjana muda. 

“Jadi kita perbaiki untuk akhirnya melahirkan semangat baharu di mana TVET atau sijl yang berkaitan dengan TVET dipandang setinggi mereka yang pegang ijazah sarjana muda.”  – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen