KANADA akan membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi di seluruh negara mulai 17 Oktober, kata Perdana Menteri Justin Trudeau pada Rabu lapor agensi berita Xinhua.
“Sejak rang undang-undang mengenainya diluluskan Parlimen, pihak kami mempertimbangkan permintaan beberapa wilayah yang meminta lebih masa untuk melaksanakannya, jadi ia hanya akan mula dikuatkuasakan pada tarikh tersebut,” katanya pada sidang media.
Senat Kanada meluluskan rang undang-undang membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi pada Selasa selepas lebih setahun dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Dengan lulusnya undang-undang itu menjadikan Kanada negara kedua di dunia membenarkan pasaran ganja secara sah, walaupun setiap wilayah sedang merangka peraturannya sendiri berhubung penjualannya.
Ia selaras dengan janji kempen Trudeau untuk mengelakkan penggunaan ganja oleh pengguna bawah umur dan mengurangkan jenayah yang berkaitan.
Langkah itu juga dilihat membolehkan orang dewasa memiliki dan menggunakan sebilangan kecil ganja rekreasi.
Di bawah undang-undang tersebut ia merangkumi aspek pengeluaran, pemilikan, piawaian keselamatan, pengedaran dan penjualan.
Sehubungan itu, Kanun Kesalahan jenayah yang baharu turut diwujudkan untuk penjualan kepada pengguna bawah umur dan adalah menjadi kesalahan kepada sesiapa yang di bawah umur 18 tahun membeli ganja.
Bagaimanapun, pentadbir wilayah diberi kebebasan untuk menetapkan umur minimum lebih tinggi. – Bernama, 21 Jun, 2018.
Komen