RATUSAN pelarian berlindung di pangkalan Misi Kesatuan Afrika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Darfur (UNAMID) selepas pertempuran antara tentera Sudan dan kumpulan bersenjata meletus, lapor agensi berita Xinhua.
“Pada 15 Jun, pelarian mula berkumpul di luar Pangkalan Operasi Sementara yang baharu ditubuhkan UNAMID di Golo, kawasan Jebel Marra di Darfur,” kata UNAMID dalam kenyataan pada Rabu.
Sehari selepas itu, seramai 305 pelarian termasuk 200 kanak-kanak dan 85 wanita, mula membina tempat perlindungan sementara di luar pangkalan.
“Kakitangan di UNAMID, Golo turut menyediakan bekalan air serta perlindungan kepada pelarian serta membantu seorang wanita yang mahu bersalin,’’ tambah kenyataan itu.
Pertempuran antara tentera kerajaan dan Tentera Pembebasan Sudan di kawasan Jebel Marra dari 13 hingga 16 Jun lalu, mengakibatkan ramai anggota tentera mengalami kecederaan serta memaksa penduduk lari meninggalkan kediaman masing-masing. – Bernama, 21 Jun, 2018.
Komen