DASAR imigresen Maghribi membolehkan pelarian mendapatkan semula maruah selain berpeluang menyumbang kepada ekonomi negara, lapor agensi berita Xinhua, memetik wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (Unhcr), Jean-Paul Cavalieri.
‘‘Lebih 5,000 orang dari 30 negara termasuk Syria, Yaman, Congo, Iraq dan Palestin berlindung di Maghribi dan bebas bergerak di seluruh negara,’’ katanya pada taklimat media mengenai Hari Pelarian Sedunia, pada Rabu.
Memandangkan 62% pelarian di Maghribi terdiri wanita dan kanak-kanak, Cavalieri berpendapat pemberian status dari segi undang-undang terhadap pelarian dapat melindungi mereka daripada dipaksa kembali ke negara asal dan mendapat akses kepada perkhidmatan serta penjagaan kesihatan yang asas.
Beliau turut memuji peranan serta sumbangan Maghribi ke atas isu pelarian yang akan dibincangkan PBB, menjelang majlis menandatangani perjanjian global mengenai migran yang selamat, tetap dan teratur.
Maghribi akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Antara Kerajaan mengenai Migrasi pada Disember. – Bernama, 21 Jun, 2018.
Komen