Pelajar AS meninggal dunia selepas bebas tahanan di Korea Utara


Gambar fail pada 29 Februari 2016 yang dikeluarkan agensi berita Korea Utara pada 1 Mac 2016 menunjukkan Otto Frederick Warmbier (kanan), bercakap dalam sidang akhbar di Pyongyang. Warmbier mengalami koma yang disebabkan kerosakan otak yang serius. – Gambar AFP, 14 Jun, 2017.

OTTO Warmbier, pelajar warga Amerika Syarikat (AS) yang koma minggu lepas selepas ditahan hampir 18 tahun di penjara Korea Utara, meninggal dunia semalam, membawa kepada kecaman Presiden Donald Trump terhadap “rejim kejam” di Pyongyang.

Pemuda berusia 22 tahun itu dipindahkan ke AS pada Selasa minggu lepas, mengalami kerosakan otak yang teruk. Dia meninggal enam hari kemudian dikelilingi saudara-mara di kampung halamannya di Cincinnati, Ohio.

“Penyiksaan dan perlakuan buruk yang anak kami terima daripada Korea Utara jelas bertanggung jawab atas kesedihan yang kami alami hari ini,” kata keluarga itu dalam satu kenyataan ketika mengumumkan kematian Warmbier.

Pemuda itu sedang melancong ketika ditangkap dan dihukum pada Mac tahun lalu hingga 15 tahun kerja keras kerana mencuri poster politik dari sebuah hotel di Korea Utara, hukuman yang dikecam AS tidak sepadan dengan jenayah yang didakwa.

Trump membidas Pyongyang berikutan berita kematian itu, menyuarakan simpati terhadap keluarganya.

“Ia rejim yang kejam,” katanya semasa majlis di White House. “Perkara buruk berlaku tetapi sekurang-kurangnya kami dapat membawanya  pulang ke rumah ibu bapanya.”

Dalam satu kenyataan bertulis berasingan, Trump berkata, “Nasib Otto membuatkan pentadbiran saya bertekad untuk mencegah tragedi tersebut daripada menimpa orang yang tidak bersalah di tangan rejim yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang atau tatasusila dasar manusia.” 

“AS sekali lagi mengutuk kekejaman rejim Korea Utara ketika kami meratapi mangsa terakhirnya.”

Setiausaha Negara Rex Tillerson menambah, “Kami berpegang kepada akta Korea Utara yang bertanggungjawab terhadap pemenjaraan Otto Warmbier yang tidak adil, dan menuntut pembebasan tiga warga Amerika lain yang ditahan secara haram.”

Doktor minggu lalu mendedahkan Warmbier mengalami kecederaan neurologi yang teruk, dan menyifatkannya sebagai “keadaan tidak dapat bertindak balas,” membuka mata dan berkelip, tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda memahami bahasa atau menyedari persekitarannya.

Keluarganya berkata semalam dia kelihatan terkejut ketika pertama kali tiba di rumah, tetapi meninggal “dengan damai.”

Rejim Kim Jong-Un mendakwa Warmbier koma tidak lama selepas dijatuhi hukuman tahun lalu, mengatakan pelajar kolej itu mengalami botulisme dan diberikan pil tidur.

Ujian perubatan yang dijalankan minggu lepas di AS tidak memperoleh keterangan konklusif mengenai punca kecederaan neurologinya, dan tiada bukti jangkitan botulism sebelumnya. Doktor Warmbier berkata dia mengalami kehilangan tisu yang banyak di semua kawasan otaknya, tetapi tidak menunjukkan tanda trauma fizikal.

Mereka berkata dengan usia muda, kecederaan otak yang sangat parah oleh Warmbier kemungkinan besar disebabkan masalah kardiopulmonari yang menghentikan bekalan darah ke otak. –  AFP, 20 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen