Buat masa sekarang, Taib Mahmud masih ‘selamat’


Desmond Davidson

GABENOR Sarawak penuh skandal, Taib Mahmud masih selamat ketika usaha kerajaan Pakatan Harapan menghapuskan korupsi dipergiat, selagi mana kerajaan pusat memberikan tumpuan penuh kepada skandal berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata penganalisis.

Taib dan keluarga terpalit dakwaan korupsi, rasuah dan penyelewengan sepanjang 33 tahun jadi ketua menteri negeri itu.

Aktivis alam sekitar, pergerakan masyarakat sivil dan politikus pembangkang mengatakan sepanjang pemerintahan Taib, hampir 90% hutan asal negeri itu dibalak.

Walaupun hanya bergaji ahli politik, keluarga Taib dipercayai mempunyai kepentingan di lebih 400 syarikat dan hartanah di 25 buah negara seluruh dunia.

Apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembukaan kembali siasatan skandal 1MDB selepas menakluk Putrajaya, harapan aktivis Sarawak melambung tinggi yang siasatan sama ke atas pemimpin korup negeri itu akan berlaku.

Bagaimanapun, Pengarah Asia Institute University of Tasmania James Chin berkata, Taib tidak perlu bimbang jadi sasaran “dalam masa terdekat” kerana Dr Mahathir sedang memberikan tumpuan penuh membina kes kuat menentang bekas perdana menteri Najib Razak.

“PH merancang untuk mengubah perkara utama dahulu. Pertamanya, mereka mahu bersihkan kesilapan ditinggalkan Najib,” katanya merujuk kepada dakwaan Najib memainkan peranan dalam penyelewengan dana negara berbilion ringgit menerusi 1MDB.

Chin berkata hutang negara yang menimbun dan semakan semula beberapa kontrak berbilion ringgit seperti Keretapi Pantai Timur (ECRL) juga menyebabkan kerajaan pusat sibuk.

“Kerana itu, Sarawak bukanlah keutamaan sekarang.”

Walaupun sudah bersara sebagai ketua menteri pada 2014, Taib dan keluarga masih berpengaruh besar di Sarawak yang kaya sumber itu.

Taib yang menggunakan Rolls Royce dan pesawat peribadi juga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2011 atas dakwaan mengayakan keluarganya dengan pemberian kontrak pembinaan infrastruktur di negeri itu.

Bagaimanapun, hasil siasatan SPRM masih belum dikeluarkan.

Seminggu selepas pilihan raya 9 Mei, Ketua PKR Sarawak Baru Bian mendesak hasil siasatan SPRM didedahkan kepada umum, menegaskan yang penduduk Sarawak berhak mengetahui kebenaran isu itu.

Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jeniri Amir berkata ada kemungkinan pendedahan aktiviti korup Taib tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.

Jeniri memberi amaran yang Putrajaya berisiko menimbulkan kemarahan rakyat sekiranya terus melengah-lengahkan pendedahan kesalahan Taib.

“Kerajaan PH perlu bertindak sekarang dan kota apa yang dikata. Inilah masanya untuk mereka membuktikan dan memenuhi janji kepada rakyat,” katanya.

“Tiada ada sesiapapun terkecuali daripada undang-undang, termasuklah Taib.

“Ia perlu dikenakan kepada semua orang, jika tidak apa beza PH dan BN?” kata Jeniri.

Chin pula bersetuju yang tiada tindakan ke atas pelbagai skandal Taib boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan baru memerintah.

“Salah satu sebab mengapa Umno kalah adalah tindakan berdiam diri mereka dalam skandal 1MDB ketika Najib jadi PM,” katanya.

Chin berkata jika dakwaan kepada Taib ada benarnya, “maka apa yang dilakukan Najib terhadap 1MDB hanyalah kecil jika dibandingkan dengan dakwaan penyelewengan di Sarawak sejak 1981.”

“Tidak mungkin anda boleh berdiam diri dengan semua dakwaan (korupsi) sebesar ini.” – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen