18 terbunuh tragedi rempuhan di Venezuela


Kematian itu berlaku selepas pergaduhan berlaku ketika majlis graduasi sekolah dan ada individu tertentu yang meletupkan gas pemedih mata, menyebabkan hampir 500 orang berebut-rebut meluru ke pintu keluar, kata Menteri Dalam Negeri dan Kehakiman Nestor Reverol. – Gambar AFP, 21 Jun, 2018.

PIHAK berkuasa Venezuela pada Rabu mengesahkan 18 terbunuh dalam kejadian rempuhan di sebuah kelab di Caracas hujung minggu lalu.

Kematian itu berlaku selepas pergaduhan berlaku ketika majlis graduasi sekolah dan ada individu tertentu yang meletupkan gas pemedih mata, menyebabkan hampir 500 orang berebut-rebut meluru ke pintu keluar, kata Menteri Dalam Negeri dan Kehakiman Nestor Reverol.

“Gas pemedih mata bukan punca kematian 18 orang ini,” katanya kepada wartawan. “Ia rempuhan 500 orang di tempat yang tidak mempunyai laluan melepaskan diri mencukupi.”

Ahad lalu, Reverol mengatakan lapan pelajar bawah umur terbunuh dalam kejadian itu.

Pada Rabu, lapan orang ditahan kerana kejadian itu termasuk seorang dewasa yang “mengaku” meletupkan gas pemedih mata.

Terdapat beberapa kejadian melibatkan gas pemedih mata sejak beberapa tahun lepas di Venezuela walaupun tiada kematian direkodkan.

Negara itu sekarang bergelut dengan krisis ekonomi dan tekanan mendesak Presiden Nicolas Maduro berundur, ketika kejatuhan harga minyak menyebabkan krisis bekalan makanan dan ubat-ubatan. – AFP, 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen