DATUK bandar New York melahirkan rasa terkejutnya pada Rabu apabila sekurang-kurangnya 239 orang kanak-kanak tiba secara rahsia setelah dipisahkan daripada ibu bapa mereka di sempadan Mexico.
Sementara Donald Trump menandatangani penamatan polisi memisahkan keluarga di sempadan yang menimbulkan kemarahan di Amerika Syarikat dan luar negara, Datuk Bandar Demokrat Bill de Blasio pergi ke pusat penerimaan kanak-kanak pendatang asing di Harlem, di mana seorang kru televisyen membuat rakaman sehari sebelumnya mengenai kanak-kanak perempuan yang tiba secara rahsia, dipisahkan dari ibu bapa mereka di sempadan.
De Blasio berkata beliau “terkejut” apabila mengetahui berapa ramai anak yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka dihantar ke New York, menjelaskan satu-satunya pusat di Harlem ini menerima 239 kanak-kanak tanpa pengetahuan pihak berkuasa bandar.
“Bagaimana mungkin kita tidak tahu terdapat 239 kanak-kanak di sini, di bandar kita?” katanya.
“Bagaimanakah kerajaan persekutuan menyekat maklumat itu daripada orang-orang di bandar ini dan menyekat bantuan yang diperlukan anak-anak ini?”
“Isu-isu kesihatan mental saja sudah mereka jelaskan kepada kami, sangat nyata, sangat menyakitkan,” kata De Blasio.
Beliau menyertai datuk bandar AS yang lain pada Khamis di Texas untuk melawat pusat penjagaan kanak-kanak dan mengutuk dasar penghijrahan pentadbiran Trump. – AFP, 21 Jun, 2018.
Komen