PENYERANG Barcelona, Luis Suarez menempah tiket untuk Uruguay layak ke pusingan kedua Piala Dunia selepas jaringan tunggalnya turut menyingkirkan Arab Saudi, pasukan tercorot dalam ranking kejohanan kali ini.
Kemenangan 1-0 itu juga tambah manis bagi Suarez kerana jaringan itu dibuat semasa penampilan antarabangsanya untuk kali yang ke-100 menyarung jersi Uruguay.
Arab Saudi tampil dengan lebih baik berbanding perlawanan pembukaan ketika dibelasah Rusia minggu lalu, namun kesilapan penjaga gol Mohammed Al-Owais menghadiahkan Uruguay gol kemenangan.
Dengan baki satu lagi perlawanan menentang tuan rumah Rusia awal minggu depan, Uruguay kini di tangga kedua Kumpulan A, terpisah dengan perbezaan gol.
Selepas dua perlawanan, Uruguay hanya ada 2 gol manakala Rusia mempunyai 8 gol selepas menundukkan Arab Saudi 5-0 dan Mesir 3-1.

Portugal 1-0 Maghribi
Sementara itu, tandukan cantik Cristiano Ronaldo seawal minit ke-4 perlawanan juga mengetepikan Maghribi daripada persaingan dalam Kumpulan B.
Tiga pasukan kini sah tersingkir: Arab Saudi, Mesir dan Maghribi.
Maghribi bagaimanapun berpeluang untuk menebus maruah dengan mengutip mata atau sekurang-kurangnya menjaringkan gol apabila berdepan Sepanyol dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Dengan gol itu, Ronaldo kini mendahului senarai penjaring gol dengan 4 gol setakat ini, diikuti penyerang Rusia, Denis Cheryshev dan Diego Costa dari Sepanyol dengan masing-masing 3 gol.

Iran 0-1 Sepanyol
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, bola yang tertampan kaki Diego Costa memberikan Sepanyol tiga mata penuh mengatasi Iran.
Sepanyol berkongsi 4 mata dengan Portugal tetapi diletakkan mendahului kumpulan kerana perbezaan mata fair play.
Iran yang duduk di tangga ketiga masih berpeluang layak ke pusingan kedua sekiranya mengalahkan Portugal pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, atau hanya seri sekiranya Maghribi menundukkan Sepanyol.
Dalam pada itu, tiga lagi perlawanan akan berlangsung malam nanti. Dalam Kumpulan C, Denmark bertemu Australia (8 malam) dan Perancis melawan Peru (11 malam) manakala dalam Kumpulan D, Argentina berdepan Croatia, awal pagi esok (2 pagi). – 21 Jun, 2018.
Komen