Nik Faisal – saksi penting untuk humban Najib ke penjara


The Malaysian Insight

Keterangan daripada Nik Faisal Ariff Kamil tentang bagaimana lebih RM42 juta dipindahkan daripada SRC International ke akaun bank peribadi Najib Razak cukup penting. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2018.

HAMPIR setiap hari sebelum 9 Mei, Nik Faisal Ariff Kamil boleh dilihat berada di kompleks beli-belah dan kafe di Bangsar, kawasan kejiranan kelas menengah di pinggir Kuala Lumpur.

Apabila Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) kalah pilihan raya, bekas ketua pegawai eksekutif SRC International itu tergesa-gesa berkemas dan melarikan diri ke Indonesia.

Beliau tahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berbuat apa saja untuk membongkar salah laku di 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Beliau juga sedar bahawa beliau memegang dua tanggungjawab yang menjadikannya saksi penting dalam pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib.

Selain menjadi CEO SRC International, Nik Faisal juga adalah pemegang surat kuasa wakil bagi Najib.

Ertinya, dari segi undang-undang, Najib memberikan kebenaran kepada Nik Faisal untuk mewakil beliau dan bertindak bagi pihaknya, kata sumber yang tahu tentang siasatan SRC kepada The Malaysian Insight.

Oleh itu, keterangannya tentang bagaimana lebih RM42 juta dipindahkan daripada SRC ke akaun bank peribadi Najib cukup penting.

Selain itu, beliau boleh menafikan beberapa pembelaan yang mungkin dibangkitkan oleh peguam Najib dalam perbicaraan nanti, termasuk fakta yang tandatangan bekas perdana menteri itu atau arahannya tiada dalam mana-mana dokumen yang membenarkan pemindahan dana tersebut.

Pegawai penyiasat juga percaya bahawa sebagai orang yang mempunyai surat kuasa wakil, Nik Faisal ada pengetahuan langsung mengenai cek yang dikeluarkan daripada akaun bank peribadi Najib itu.

Setakat ini, tidak pasti apakah bekas pegawai PNB dan eksekutif kanan UBG Perdana itu masih berada di Indonesia. Beliau juga biasa dengan republik itu kerana pernah juga melarikan diri ke sana pada 2015 selepas skandal 1MDB terbongkar.

Nik Faisal memberitahu rakan-rakannya beliau diminta meninggalkan Malaysia oleh pegawai kanan Najib di Pejabat Perdana Menteri, bersama-sama Suboh Md Yassin, seorang pengarah SRC International.

Mereka berdua berlindung di Indonesia untuk suatu ketika dan memberi keterangan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang datang bertemu mereka di Jakarta pada 2015.

Beberapa minggu lalu, Suboh pulang dari Indonesia. Beliau kini sedang sedang SPRM dalam siasatan terhadap SRC.

Namun bekas pegawai kanan kerajaan itu dalam keadaan lemah dan hilang ingatan setelah diserang angin ahmar.

Pihak berkuasa Malaysia sudah meminta Interpol untuk meletakkan Nik Faisal dan Low Taek Jhow sebagai orang buruan dalam senarai notis merah. Interpol juga sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-duanya.

The Malaysian Insight difahamkan yang pegawai penyiasat 1MDB sedang berusaha keras memujuk Nik Faisal untuk berjumpa dengan mereka dan membantu melengkapkan siasatan terhadap SRC International.

Beliau adalah saksi kunci untuk menjelaskan bagaimana jutaan ringgit dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Najib dan kemudiannya dibelanjakan secara mewah. – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Isu skandal 1MDB perlu diselesaikan dgn kadar segera bagi memulihkan imej negara di mata dunia. Rakyat juga dinasihatkan agar tdk membuat spekulasi mengenai 1MDB kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan