Najib dakwa beg tangan, barang kemas adalah 'hadiah' 


Bekas perdana menteri Najib Razak kini berdepan siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan 1MDB.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2018

NAJIB Razak mendakwa wang tunai, beg tangan dan barang kemas yang dirampas dari kediaman dan beberapa premis merupakan “hadiah kepada isteri dan anak perempuan” beliau.

Beliau juga mendakwa barangan tersebut tiada kena mengena dengan dana didakwa diseleweng daripada 1MDB, lapor Reuters.

Dalam temubual bersama agensi berita itu di Langkawi, bekas perdana menteri turut menafikan bahawa wang berbilion ringgit dalam akaun banknya berpunca daripada 1MDB.

Najib dan isterinya Rosmah Mansor kini disekat daripada meninggalkan negara. Mereka disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dana RM42 juta yang didakwa dipindahkan ke akaunnya daripada SRC International, salah sebuah bekas anak syarikat 1MDB.

Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa tumpuan utamanya adalah untuk mendakwa individu yang terbabit dengan skandal 1MDB.

Ketika memulakan tugas tersebut, Thomas memberi jaminan bahawa tiada sesiapapun akan terkecuali dalam siasatan ke atas dana pelaburan negara itu, yang diasaskan oleh Najib.

Najib memberitahu Reuters, beliau tidak tahu sekiranya dana berbilion ringgit dalam akaunnya itu daripada 1MDB dan turut memberi jawapan sama apabila ditanya jika kapal layar mewah, lukisan mahal dan hartanah di luar negara diperolehi dengan hasil curi.

“Saya tidak terlibat dengan kapal layar, lukisan… saya tidak pernah melihat apa-apa lukisan.

“Saya tidak maklum mengenai pembelian ini. Ini dibuat tanpa pengetahuan saya. Saya tidak akan membenarkan dana 1MDB digunaka untuk apa-apa perkara ini.

“Saya dalam kerajaan sudah lama. Saya tahu apa yang betul dan apa yang salah,” kata Najib seperti dipetik dalam laporan Reuters.

Hartawan Low Taek Jho, juga dikenali dengan nama Jho Low yang kini dikehendaki pihak berkuasa merupakan orang kepercayaan Najib.

Jho Low didakwa mengubah berbilion ringgit daripada 1MDB menjadi aset mewah, seperti kapal layar Equanimity, rantai berlian dan karya Picasso, selain membiaya filem Hollywood.

Kediaman Najib di Jalan Langgak Duta dan tiga unit kondominium mewah di Pavilion Residences diserbu polis selepas Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan pada 9 Mei.

Hasil serbuan tersebut, polis menemui wang tunai RM114 juta dalam pelbagai mata wang dan juga 284 kotak beg tangan, barang kemas dan jam mewah.

Najib memberitahu Reuters bahawa beg dan barang kemas tersebut merupakan hadiah perkahwinan anak perempuannya.

Menantunya, Daniyar Nazarbayev, yang merupakan anak saudara kepada Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, juga didakwa menghadiahkan banyak beg tangan kepada Rosmah.

“Orang mungkin sukar faham, tetapi menantu saya contohnya, beliau mendapat Birkin dariapda sumbernya, lima atau enam pada satu-satu masa,” kata Najib.

“Keluarganya juga orang berada, jadi ia tiada kena mengena dengan 1MDB jika ia berpuca daripada Kazakhstan.”

Najib turut memberitahu Reuters, lembaga pengarah 1MDB tentunya akan memaklumkan kepada beliau sekiranya terdapat dana yang hilang daripada syarikat pelaburan negara itu, – 20 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen