SEKURANG-kurangnya 60 orang pendatang maut di lautan Mediterranean apabila bot getah yang dinaiki mereka karam minggu lalu, menurut kenyataan mangsa yang terselamat yang dikumpul oleh kumpulan hak asasi di Sicily.
Kapal pengawal pantai Itali, Diciotti yang membawa lebih 500 pendatang berlabuh pada malam Selasa di pelabuhan Pozzallo, Sicily.
Antara yang menaiki kapal berkenaan adalah 40 mangsa yang terselamat dalam kemalangan pada malam Selasa lalu, yang menyaksikan bot tentera laut AS tiba untuk membantu pendatang yang lemas selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Libya.
Ketika itu, tentera laut AS melaporkan ternampak kira-kira 12 mayat dalam laut namun mereka gagal mengesan lokasi mereka selepas menyelamat.
Mangsa terselamat ditemu bual oleh sukarelawan persatuan hak asasi manusia Medu di Sicily berkata, bot mereka membawa 117 orang, yang mungkin akan menjadikan angka kematian lebih 70 orang.
NGO Doktor Tanpa Sempadan (MSF) meletakkan angka kematian seramai 60 orang juga berdasarkan keterangan daripada mangsa yang terselamat yang melaporkan 100 orang menaiki bot terbabit.
“Saya belum pernah melihat wajah trauma dan ketakutan selepas mendarat,“kata penyelaras psikologi MSF, Tei di Piazza.
“Mereka sudah tiada kekuatan lagi.”
Ketibaan pendatang terbaharu di Sicily adalah ketika pemimpin EU bersedia mengadakan rundingan krisis bagi pendatang haram di Brussels pada Ahad. – AFP, 20 Jun, 2018.
Komen