SPRM akan diteliti selepas kabinet setuju buka semula kes Teoh Beng Hock


Low Han Shaun

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata peguam negara mempunyai kuasa untuk mengarahkan polis membuka semula siasatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2018

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadi tumpuan berikutan keputusan kabinet hari ini untuk melakukan siasatan baru terhadap kematian Teoh Beng Hock.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pertemuan akan diadakan dengan peguam negara untuk membincangkan skop siasatan. 

Beliau berkata ini kerana hanya peguam negara mempunyai kuasa untuk mengarahkan polis membuka semula siasatan. 
 
“Kabinet telah menghantar pandangan mengenai pembukaan semula siasatan.

“Kita bincangkan perkara ini dengan Peguam Negara, dan ia akan diumumkan kemudian, kerana beliau yang mengendalikan terma perundangan kes itu,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DAP. 

Pada 16 Julai, 2009, Teoh ditemui mati di tingkat lima pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

Beliau disoalsiasat selama 11 jam sebagai saksi dalam kes membabitkan dakwaan penyelewengan peruntukan oleh beberapa Adun. 

Teoh merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Pada 12 Mei, 2012 Putrajaya dan SPRM mengakui kecuaian dalam kematian Teoh, dan diarahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi kerosakan RM600,000 dan RM60,000 ganti rugi kos. 

Peguam keluarga Teoh ketika itu, Gobind Singh Deo berkata pihak keluarga mahu polis menjalankan siasatan lanjut ke atas kematian Teoh dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

“Saya rasa ini adalah kemenangan besar bagi keluarga Teoh. Selepas enam tahun perbicaraan, mereka kini mempunyai pengakuan daripada SPRM dan kerajaan bahawa pihak berkenaan bertanggungjawab atas kematiannya. 

“Kami akan mendesak polis untuk tindakan berhubung perkara ini, Kami dah lakukan yang terbaik dalam perkara ini mengikut undang-undang. Kini terpulang kepada polis untuk lakukan apa yang perlu dan kami tidak akan berhenti mendapatkan keadilan untuk Teoh Beng Hock,” kata Gobind dalam satu kenyataan ketika itu.

Gobind hari ini berkata, sekiranya SPRM disiasat, pegawai yang terbabit dengan kemaian Teo perlu digantung.

“Jika siasatan lanjut perlu dibuat terhadap pegawai terbabit, mereka perlu digantung dan membenarkan siasatan dijalankan.”

Sementara itu, adik Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan akan membawa keadilan kepada abangnya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan PH kerana membuka semula kes berkenaan.

“Ia merupakan langkah pertama untuk mencari kebenaran dan untuk tahu dalangnya,” katanya.

Beliau turut menamakan lima pegawai - bekas timbalan pesuruhjaya SPRM Selangor Hishamuddin Hasim, ketua siasatan SPRM Selangor Hairul Ilham Hamzah, pegawai enyiasat Mohd Anuar Ismail, pegawai soal siasat Mohd Ashraf Mohd Yunus dan penolong peguasa SPRM Klang Zulkefly Aziz - dan mereka yang terlibat dalam kes itu digantung tugas sehingga siasatan lanjut. – 20 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen